Ahad, 25 Julai 2021 | 9:48pm
Doktor kontrak merancang untuk keluar daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja di seluruh negara jam 11 pagi esok. - Gambar Facebook
Doktor kontrak merancang untuk keluar daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja di seluruh negara jam 11 pagi esok. - Gambar Facebook

Amaran jika doktor keluar masa bertugas

KUALA LUMPUR: Pegawai awam tidak boleh terbabit dalam perhimpunan haram dan membelakangkan tugas, atau dikenakan tindakan tatatertib, selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) (PU(A) 395/1993).

Peringatan mengenai larangan itu dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, dipercayai berkait dengan gerakan Hartal Doktor Kontrak, jam 11 pagi esok.

Dalam peringatan itu, KKM mengingatkan pegawai awam tidak boleh terbabit dalam perhimpunan haram, sama ada di luar waktu kerja, menggunakan waktu kerja dengan meninggalkan pejabat untuk menyertai himpunan.

Pegawai awam juga tidak boleh menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak dan mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedar risalah, berkaitan perhimpunan haram.

"Peraturan 4(1) PU(A) 395/1993 memperuntuk seorang pegawai awam hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

"Peraturan 4(2)(a), (b) dan (c) PU(A) 395/1993 pula memperuntuk pegawai awam tidak boleh membelakangkan tugas awamnya atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak muhasabah, bahawa mereka membiarkan kepentingan peribadi bercanggah dengan tugas awamnya, sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai penjawat awam.

"Jika cukup bukti menunjukkan pegawai terbabit dalam kegiatan itu, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras PU(A) 395/1993," jelasnya, yang memetik surat edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011.

PU(A) 395/1993 memperuntuk tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Jumaat lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Kumpulan doktor kontrak itu merancang untuk keluar daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja di seluruh negara tepat jam 11 pagi esok.

Berita Harian X