Jumaat, 23 Julai 2021 | 8:38pm
Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Wakil parti pembangkang dijemput sertai MPN

KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menjemput wakil parti pembangkang menjadi ahli majlis itu.

Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah itu selaras dengan pendekatan PPN yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan membabitkan penyertaan menyeluruh.

"MPN bersetuju menjemput wakil parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)

sebagai ahli MPN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat pertama MPN hari ini dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MPN dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Turut menganggotai majlis itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

Tengku Zafrul berkata, MPN juga bersetuju menjemput wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak menganggotai majlis itu.

Katanya, MPN mengalu-alukan kesediaan dan pembabitan pakar mewakili pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

Antara yang dilantik adalah bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Turut menyertai majlis itu, tokoh media, Datuk Seri Wong Chun Wai; Presiden PKS Malaysia, Datuk Michael Kang; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim; aktivis masyarakat, Datuk Dr Hartini Zainuddin; dan pakar psikiatri, Dr Sivakumar Thurairajasingam.

Tengku Zafrul berkata, keanggotaan wakil parti pembangkang, tokoh dan pakar daripada pelbagai sektor itu akan memantapkan keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.

"MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan Kerajaan dalam tempoh pemulihan.

"MPN akan menyampaikan maklumat mengenai aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai ini," katanya.

Berita Harian X