Ahad, 18 Julai 2021 | 1:15pm

Maybank, MERCY bekerjasama tingkat kapasiti HTAR, HKL

KUALA LUMPUR: Maybank menyalurkan dana bernilai RM14 juta untuk meningkatkan kapasiti dua hospital bagi membantu penyediaan kemudahan dan perkhidmatan perubatan serta mengukuhkan sistem kesihatan negara dalam menghadapi lonjakan kes COVID-19.

Sumbangan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 MERCY Malaysia itu, akan meliputi penyediaan peralatan dan tenaga kerja kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bermula hujung bulan ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pihaknya mengambil berat peningkatan jumlah pesakit COVID-19 sejak akhir-akhir ini dan tekanan dihadapi infrastruktur sistem kesihatan negara.

Beliau berkata, berikutan keperluan yang sangat mendesak di kedua-dua hospital ini, penting semua usaha dilakukan bagi meringankan keperluan hospital mendapatkan sokongan perubatan sekali gus memberi kelegaan kepada pesakit dan barisan hadapan.

Program ini katanya, akan dijalankan selama 20 minggu melalui pendekatan tiga serangkai iaitu penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan, mobilisasi sumber manusia dan latihan teknikal termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.

Ia akan memberi ruang untuk meningkatkan kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 kategori empat dan lima membabitkan enam unit katil di HTAR, 10 unit (HKL) serta tambahan 200 katil pesakit COVID-19 masing-masing di dua hospital ini

"Pada masa yang sama, sejumlah 40 pekerja kesihatan dan staf sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL untuk berkhidmat di wad COVID-19 dan wad biasa bagi membolehkan jabatan pesakit luar hospital dibuka semula dan seterusnya membantu semua pesakit.

"Inisiatif ini juga akan menyaksikan kehadiran lebih ramai kakitangan perubatan terlatih dalam menangani kes COVID-19 secara berkesan serta menyediakan pelbagai peralatan perubatan ICU dan bukan ICU yang sangat diperlukan, termasuk di jabatan kecemasan di kedua-dua hospital.

"Ia termasuk hampir 4,000 peralatan perubatan dan sokongan termasuk monitor tekanan darah, mesin elektrokardiogram (ECG) dan jantung, meter aliran oksigen, ventilator, pemekat oksigen dan monitor penting rawatan kritikal," katanya dalam kenyataan.

Zamzamzairani berkata, berikutan keperluan bagi mengurangkan cabaran fizikal dan kesihatan mental dalam kalangan pekerja kesihatan barisan hadapan, inisiatif ini juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial melalui modul dan mekanisme pengurusan kesihatan.

Selain itu, bantuan secara langsung akan turut diberi bagi mengurangkan beban hidup pekerja dan ahli keluarga mereka.

Tambahnya, memandangkan terdapat cabaran kapasiti yang sangat besar di HTAR, Maybank juga akan mewujudkan hospital sementara bersama dengan pemberian latihan teknikal kepada kakitangan bagi meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit COVID-19.

"Ini akan membantu mengurangkan beban di ICU dan wad am dengan pengurusan aktif pesakit kategori tiga.

"Harapan kami, kesinambungan sistem kesihatan negara terjamin dan hospital kita dilengkapi dengan lebih baik dan bersedia untuk menghadapi bukan sahaja wabak COVID-19 tetapi pandemik yang tidak dijangka di masa depan.

"Sebagai organisasi dengan komitmen untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, Maybank akan terus melakukan yang terbaik bagi mendukung masyarakat supaya dapat menjana kemampanan kehidupan sekali gus mengurangi risiko dan tekanan bagi pekerja barisan hadapan." katanya.

Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, berkata sumbangan terbaru itu adalah pengiktirafan dan kepercayaan Maybank terhadap usaha MERCY.

"Sumber pendanaan awal adalah kunci kepada penyediaan bantuan kemanusiaan ketika kecemasan.

"Momentum tindak balas COVID-19 untuk negara ini sudah mencapai puncaknya oleh itu ia memerlukan persiapan strategik, tindakan budi bicara dan pembabitan yang mampan seperti dilakukan Maybank." katanya

Berita Harian X