Jumaat, 2 Julai 2021 | 5:13pm
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh. Foto fail NSTP
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh. Foto fail NSTP

PAC bersidang 26 Julai ini

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bersidang pada 26 Julai ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata surat pemakluman berhubung tarikh mesyuarat itu sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.

Katanya, mesyuarat yang dijadualkan pada jam 2 petang itu akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli PAC dan ahli ex officio jawatankuasa berkenaan.

"Mesyuarat diadakan bagi membincangkan jadual mesyuarat PAC yang akan datang, terutama membabitkan kes yang tertangguh sebelum ini, serta mengemas kini jadual mesyuarat.

"Bagaimanapun, jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat secara hibrid jika tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis-Majlis Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kah Woh berkata, PAC menjunjung pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang mahu Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin, iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X