Khamis, 1 Julai 2021 | 2:33pm
PUTRAJAYA, 1 Julai -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun pada sidang media mengenai Pakej Rangsangan Pemulih hari ini.
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA, 1 Julai -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun pada sidang media mengenai Pakej Rangsangan Pemulih hari ini.
--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PSS dilaksana bulan ini, guna 7 bas

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenalkan Pusat Sokongan Sosial (PSS) setempat secara bergerak yang dijadualkan bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata program itu akan digerakkan di seluruh negara bagi membantu masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata, walaupun kementerian itu menyediakan telekaunseling melalui Talian Kasih 15999, namun tidak semua individu mahu bercakap dan berkongsi dengan kaunselor disediakan.

Katanya, ada individu lebih selesa menyuarakan masalah kepada pemimpin komuniti setempat di tempat tinggal masing-masing kerana ia lebih dekat dengan penduduk.

"Kementerian akan menyediakan latihan kepada pemimpin masyarakat seperti pengerusi taman dan ketua penduduk bagi memperkasa komuniti serta membantu menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Sebanyak tujuh kenderaan membabitkan bas akan digerakkan dalam program ini dan buat permulaan, dua kenderaan akan digerakkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lalu mengumumkan PEMULIH bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat berdepan penularan wabak COVID-19.

Pakej PEMULIH tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Selain itu, sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Rina berkata, PSS setempat secara bergerak itu program baharu yang akan diadakan di kawasan dikenal pasti dan mempunyai ramai penduduk.

Beliau berkata, program itu sudah lama dirancang kementerian itu dan berharap pelaksanaannya dapat membantu menyelesaikan masalah kesihatan mental dialami masyarakat.

Katanya, kementerian juga akan memperkasa program dua masjid dipilih untuk projek rintis Program Masjid Santuni Masyarakat yang dijadikan sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga di seluruh negara.

Katanya, program rintis dalam tempoh enam bulan bermula Mei lalu akan diteruskan bagi membantu memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan bilik asrama sedia ada di masjid, keperluan asas diri dan makan minum sepanjang berlindung di masjid.

"Program masjid ini akan dijadikan pusat sehenti bagi menangani krisis rumah tangga dalam membantu mangsa mendapat perlindungan sebaiknya dan selamat," katanya.

Program rintis menerusi Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu dilaksanakan di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berita Harian X