Rabu, 16 Jun 2021 | 8:19pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

90 kilang diarah tutup sejak 1 Jun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 kilang diarahkan tutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun hingga kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan itu susulan pemeriksaan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan terhadap 404 kilang dalam tempoh berkenaan.

"Dalam usaha untuk memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP PKP secara menyeluruh, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP diwartakan.

"Secara kumulatif sebanyak 22,819 premis perniagaan serta 2,015 kilang dengan keseluruhan 24,834 premis diperiksa sejak 14 Januari lalu.

"Sehingga kini, 143 kilang dan 17 premis bukan kilang diarahkan tutup," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam melakukan 1,428 pemeriksaan pematuhan harian dan sebanyak 22 kompaun dikeluarkan ke atas premis perniagaan gagal mematuhi SOP PKP.

Katanya, KPDNHEP melaksanakan sebanyak 597,252 pemeriksaan dan mengeluarkan sebanyak 414 kompaun sejak 13 Mei 2020.

"Dalam tempoh 6 hingga 14 Jun lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula menerima 266 aduan mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian serta agensi.

"Daripada jumlah itu, jumlah aduan tertinggi yang direkodkan membabitkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan iaitu sebanyak 62 aduan, perkhidmatan tidak perlu 50 aduan dan 45 aduan bagi kategori ketidakpatuhan SOP," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 138 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati 43 tapak binaan beroperasi manakala 95 lagi tidak beroperasi. Dalam pemeriksaan itu, CIDB mendapati 31 tapak binaan mematuhi SOP manakala 12 lagi diarahkan tutup.

"Secara keseluruhan, CIDB sudah melakukan 18,932 pemeriksaan membabitkan 10,864 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan 841 individu atas kesalahan ingkar SOP PKP semalam, dengan 821 dikompaun manakala 20 lagi direman.

Katanya, kesalahan direkodkan ialah rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis membabitkan 170 individu, tiada penjarakan fizikal (165), tidak memakai pelitup muka (157) dan individu gagal merekod butiran diri serta daftar masuk premis (103).

"Kesalahan lain tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91), membawa penumpang berlebihan (87), aktiviti pusat hiburan (32) serta gagal patuhi arahan (12).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 99,153 pemeriksaan semalam. Ia membabitkan 4,585 pasukan pematuhan terdiri daripada 20,612 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP," katanya.

Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala empat kenderaan darat serta tiga bot dan kapal dirampas.

Beliau berkata, sebanyak 221 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

"Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) juga menjalankan 952 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 171 operasi sanitasi dilaksanakan di 83 zon merah, lima zon jingga dan enam zon kuning seluruh negara semalam.

Katanya, operasi itu membabitkan 1,045 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 260 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 161 jentera JBPM.

"Pada hari sama, seramai 556 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya sudah dikuarantin.

"Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 227,362 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 77 hotel, 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 55 pekerja asing menjalani ujian saringan semalam dan tiada kes positif COVID-19 direkodkan.

Katanya, secara kumulatif setakat ini seramai 699,125 pekerja terbabit menjalani ujian saringan COVID- 19 membabitkan 36,258 majikan.

"Daripada jumlah pekerja itu, seramai 10,352 disahkan positif COVID-19 manakala 688,773 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit program saringan itu," katanya.

Berita Harian X