Khamis, 10 Jun 2021 | 7:01pm
Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi pematuhan SOP PKP 3.0 di sebuah kilang di Sungai Dua, Rabu lalu. - NSTP/Danial Saad
Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi pematuhan SOP PKP 3.0 di sebuah kilang di Sungai Dua, Rabu lalu. - NSTP/Danial Saad

Ingkar SOP, 75 kilang dikompaun, 59 diarah tutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 75 kilang dikenakan kompaun, manakala 59 lagi diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam tempoh sembilan hari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu hasil pemeriksaan dilakukan pasukan Task Force Operasi Pematuhan susulan aduan diterima pihak berkuasa.

"Dalam usaha memastikan semua pemain industri dan perkilangan mematuhi SOP sepanjang PKP 3.0, kerajaan meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak melanggar SOP yang diwartakan.

"Langkah ini dikuatkuasakan susulan kerajaan menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan tiada dalam senarai perkhidmatan perlu, beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri berkata, sejak 1 Jun lalu hingga semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan bermula hari ini hingga 30 Jun depan selepas mengambil kira situasi terkini COVID-19.

Berita Harian X