Khamis, 3 Jun 2021 | 6:07pm
Pelbagai bantuan akan disediakan oleh kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pelbagai bantuan akan disediakan oleh kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Golongan memerlukan terima bantuan RM32.1 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah menyalurkan bantuan langsung kepada golongan yang memerlukan berjumlah RM32.1 bilion sejak negara dilanda COVID-19 Mac tahun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan langsung berkenaan merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Setakat Mei lalu, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi BPN2.0 serta BPR Fasa 1 dan 2 yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.

"Jumlah keseluruhan bantuan langsung kepada golongan B40 yang memerlukan adalah lebih RM32 bilion bagi 2020 dan 2021.

"Pelbagai lagi bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat termasuk bantuan sedia ada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelbagai agensi kerajaan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-55, hari ini.

Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar bayaran program BPR susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500.

Isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima kadar tambahan sebanyak RM300, manakala golongan bujang pula akan menerima RM100.

Tengku Zafrul berkata, BPR tambahan itu akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada akhir bulan ini.

"Bayaran ini adalah tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR September 2021.

"Kadar tambahan ini diberikan di atas keprihatinan kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat semasa PKP 3.0," katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021.

"Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Berita Harian X