Jumaat, 28 Mei 2021 | 7:59pm
 Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

581 individu ingkar SOP ditahan

PUTRAJAYA: Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, menahan 581 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 574 individu dikenakan kompaun, enam direman dan seorang dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (191); gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (119); tiada penjarakan fizikal (89); melakukan aktiviti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (67); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53) dan lain-lain kesalahan (62).

"Task Force juga melakukan 76,904 pemeriksaan semalam membabitkan 3,786 pasukan pematuhan dengan 16,127 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam pula menangkap 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat.

Katanya, enam aktiviti penglihatan dijalankan semalam mengesan 164 bot atau kapal di perairan negara.

Selain itu, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 585 sekatan jalan raya, manakala 72 operasi sanitasi dilaksanakan di 38 zon merah, zon jingga (2) dan zon kuning (5) di seluruh negara.

"Operasi sanitasi ini membabitkan 364 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 188 pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 216 jentera JBPM.

"Secara kumulatifnya, sebanyak 25,010 operasi sanitasi merangkumi 79 zon dilakukan sejak 30 Mac lalu.

"Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Sementara itu, seramai 792 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, manakala 123 warga asing menjalani ujian saringan semalam dan tiada kes positif COVID-19 dilaporkan.

Ismail Sabri berkata, secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia (KSM)

memaklumkan 697,828 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 membabitkan 36,102 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,319 pekerja asing disahkan positif COVID-19 dan 687,509 lagi adalah negatif.

Berita Harian X