Rabu, 12 Mei 2021 | 11:10pm
Gambar fail
Gambar fail

Sri Ram wakil firma guaman berdepan saman sivil 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mewakili firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya, Brian Chia Hock Gee yang berdepan saman AS$1 bilion difailkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap mereka.

Sri Ram berkata, tidak terdapat sebarang konflik kepentingan berhubung tindakan beliau mewakili kedua-dua firma guaman dalam saman sivil itu.

"Tidak ada konflik. Brian adalah saksi penting saya dalam perbicaraan kes 1MDB-Tanore yang sedang berlangsung.

"Beliau adalah rakan kongsi Tetuan Wong & Partners dan sasaran utama dalam saman itu. Saya perlu mewakili beliau dalam kedua-dua kes," kata Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes jenayah membabitkan skandal 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku.

Antara saman difailkan ke atas Tetuan Wong & Partners serta Brian ialah bagi mendapatkan semula AS$1 bilion dan pembayaran fi perundangan sebanyak RM664,821.21 bagi peranan didakwa dimainkan mereka dalam frod itu. - BERNAMA

Berita Harian X