Isnin, 10 Mei 2021 | 3:44pm
1Malaysia Development Bhd (1MDB) - Foto fail Bloomberg
1Malaysia Development Bhd (1MDB) - Foto fail Bloomberg

1MDB, SRC fail 22 tuntutan sivil RM96.6 bilion

PUTRAJAYA: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan 22 tuntutan sivil bagi pemulangan aset melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion).

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, enam daripada writ saman difailkan oleh 1MDB, manakala 16 lagi oleh SRC bagi pemulangan aset termasuk tuntutan bernilai kira-kira RM300 juta terhadap pelbagai pihak tempatan.

Katanya, writ yang difailkan oleh 1MDB membabitkan sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, 'common law' dan fidusiari; pecah amanah; frod; konspirasi frod; salah nyata frod; pecah kewajipan dan amanah secara frod; penyembunyian secara frod; penyelewengan secara frod; bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana; kecuaian; penerimaan dengan pengetahuan atau 'knowing receipt' dan pengkayaan tidak wajar atau 'unjust enrichment'.

Menurutnya lagi, writ yang difailkan oleh SRC pula adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salah laku dan penukaran salah atau 'wrongful conversion'.

"Wakil guaman kedua-dua entiti ini memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil pada 7 Mei 2021.

"1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti-entiti dan/atau individu ini mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah daripada entiti itu," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata usaha kerajaan kini bertumpu untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas serta sebagai pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga.

"Berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui pembabitan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC," katanya.

Malaysia sebelum ini sudah menerima RM10.5 bilion (AS$2.5 bilion) daripada Goldman Sachs pada Ogos tahun lalu dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion (AS$1.4 bilion).

Kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion daripada Ambank Group dan RM336 juta (AS$80 juta) dari Deloitte PLT.

"Semua hasil daripada usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Penyelesaian ini tidak menjejas tuntutan Malaysia terhadap pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB serta SRC dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil.

"Kementerian Kewangan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional atas usaha bersama mereka untuk membawa pesalah laku ini ke muka pengadilan dan mendapatkan kembali hak rakyat Malaysia," demikian menurut kenyataan itu.

Berita Harian X