Selasa, 4 Mei 2021 | 4:30pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kes keganasan rumah tangga meningkat sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April tahun ini, dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, berkata kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga.

"Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM)sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan, manakala merujuk kepada statistik Talian Kasih KPWKM, dalam tempoh sama, sebanyak 2,540 kes keganasan rumah tangga telah diterima.

"Bagi empat bulan pertama untuk tahun 2021 iaitu dari Januari hingga April, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan. Statistik ini menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga (KRT) di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff.

Rina menyifatkan usaha JAWI menjadikan masjid sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga adalah inisiatif amat tepat dengan objektif KPWKM dalam dalam memastikan golongan wanita dilindungi sekali gus mewujudkan komuniti yang prihatin dan peka terhadap persekitaran yang berlaku.

Sebanyak 14 buah masjid di Kuala Lumpur terbabit dalam projek rintis bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga dengan dua daripadanya dijadikan pusat transit, manakala selebihnya berfungsi sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling.

"Masjid ini premis yang dekat dengan masyarakat. Melalui projek ini, kita akan lihat keberkesanan dan bagaimana untuk tambah baik dan memperluaskannya ke masjid-masjid di negeri lain.

"Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah mengambil inisiatif awal dengan membangunkan modul bersesuaian sebagai rujukan oleh pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit ini nanti.

"Modul Skuad WAJA iaitu "Wanita Anti Jenayah" telah dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia yang memfokuskan kepada penyampaian ilmu dan kemahiran asas psikologi dalam usaha meningkatkan keseimbangan kendiri, keluarga, komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, seramai 19 orang pegawai JAWI dan masjid telah menjalani sesi latihan Skuad WAJA pada awal tahun ini.

Katanya, mangsa yang ditempatkan di pusat itu akan turut dibekalkan kit persalinan antaranya mengandungi baju, seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita.

"Meskipun barangan ini mungkin tidak seberapa, namun diharapkan dengan kit persalinan ini dapat membantu kelengkapan mangsa ketika dilindungi di pusat transit ini kelak daripada berteduh dengan keadaan sehelai sepinggang tanpa sebarang kelengkapan asas sewaktu hadir memohon perlindungan di masjid kelak.

"Mangsa akan ditempatkan sementara di sini sementara menunggu perintah mahkamah untuk dibawa ke pusat perlindungan wanita yang telah diwartakan," katanya.

Dua buah masjid yang terpilih sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga adalah Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al Ghufran di Taman Tun Dr Ismail.

Sementara itu, dua buah masjid yang menjadi pusat khidmat aduan dan kaunseling termasuk Masjid Al Imam Al Ghazali di Bandar Manjalara, Kepong; Masjid Al Qurtubi di Taman Sri Segambut; Masjid Amru Ibn Al Ass, Bandar Baru Sentol; Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai Baru dan Masjid Al Ikhlasiah, Bukit Kerinchi.

Berita Harian X