Sabtu, 17 April 2021 | 6:02pm
Kebenaran pelanggan makan di restoran, dilihat berpotensi menjadi lokasi penyebaran pandemik COVID-19. Foto fail NSTP
Kebenaran pelanggan makan di restoran, dilihat berpotensi menjadi lokasi penyebaran pandemik COVID-19. Foto fail NSTP

Ketatkan kembali aktiviti sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperketatkan kembali beberapa peraturan membabitkan aktiviti sosial dan pergerakan orang ramai susulan peningkatan kes harian COVID-19, yang mula mencecah lebih 2,000 sejak Khamis lalu.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meneliti semula kelonggaran membabitkan majlis sosial seperti kenduri-kendara, yang dilihat menyumbang kepada beberapa kluster baharu COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan semula kebenaran pelanggan makan di restoran, yang dilihat berpotensi menjadi lokasi penyebaran wabak.

Selain itu, katanya, pergerakan rentas daerah di beberapa negeri yang mencatat peningkatan kes yang tinggi juga wajar dilaksanakan, di samping langkah memperketatkan kebenaran rentas negeri yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini.

"Langkah memperketatkan kebenaran rentas negeri yang dilaksanakan sekarang memang perlu kerana memang ada beberapa kluster baharu yang wujud kesan aktiviti ini.

"Pada masa sama, KKM wajar mengkaji semula kebenaran pelanggan makan minum di restoran bagi mengurangkan peluang interaksi sosial yang meningkatkan risiko penularan wabak.

"Dalam situasi kes yang semakin meningkat, peraturan membabitkan kenduri, majlis tahlil dan aktiviti kunjung mengunjung antara kawan dan keluarga wajar diketatkan semula kerana ketika aktiviti ini, memang sukar untuk ahli keluarga tidak bersalam atau berpelukan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas langkah PDRM memperketatkan kebenaran untuk orang ramai merentas negeri susulan situasi COVID-19 di negara ini yang belum stabil dan semakin menunjukkan peningkatan.

Arahan yang mula berkuat kuasa kelmarin itu hanya mempertimbangkan permohonan rentas negeri bagi tiga situasi iaitu kecemasan membabitkan ahli keluarga terdekat namun perlu dokumen sokongan, kematian serta pasangan suami isteri yang berjauhan.

Kes harian COVID-19 mula menunjukkan trend peningkatan pada minggu lalu, dan melonjak hingga mencecah lebih 2,000 kes pada Khamis lalu dan berterusan hingga hari ini.

Sementara itu, pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata langkah memperketatkan kebenaran rentas negeri adalah tepat, namun sedikit terlewat kerana penularan kes daripada kawasan bandar ke kampung sudah berlaku.

Katanya, peningkatan kes dan kluster akibat rentas negeri juga menunjukkan masih banyak kes tidak bergejala yang tidak diketahui, memandangkan proses saringan ketika ini tertumpu kepada kluster yang sudah dikesan sahaja.

"KKM perlu meningkat jumlah saringan komuniti, termasuk di tempat kerja atau sekolah yang banyak menyumbang kes baharu ketika ini, supaya dapat mengesan pembawa senyap, iaitu individu dijangkiti tapi tidak bergejala.

"Peningkatan kes berlaku apabila kelonggaran diberikan, menunjukkan ramai lagi individu tidak bergejala yang tidak diketahui jumlahnya," katanya.

Selain itu, Dr Sharifa Ezat berpandangan kerajaan juga perlu mengehadkan kembali jumlah kakitangan yang dibenarkan bekerja di pejabat kepada 50 peratus.

"Kluster tempat kerja antara penyumbang peningkatan kes. Apabila had bekerja di pejabat dikenakan, kita boleh kurangkan pergerakan orang ramai, sekali gus turut mengurangkan risiko kebolehjangkitan," katanya.

Berita Harian X