Ahad, 11 April 2021 | 7:19pm
Seramai 112 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP di pusat hiburan. - Foto Ihsan PDRM
Seramai 112 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP di pusat hiburan. - Foto Ihsan PDRM

112 ditahan ingkar SOP babit pusat hiburan

KUALA LUNPUR: Kesalahan membabitkan kegiatan pusat hiburan mencatat angka tertinggi dalam kalangan 208 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 112 kesalahan berkaitan aktiviti berkenaan ambil tindakan oleh Task Force Pasukan Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, antara kesalahan yang direkodkan ialah 112 kes membabitkan aktiviti pusat hiburan, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (27), tidak memakai pelitup muka (16) dan lain-lain kesalahan (53).

"Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 199 individu dikompaun, manakala sembilan lagi direman," katanya dalam kenyataan harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM turut membuat 66,140 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

"Seramai 3,196 pasukan pematuhan membabitkan 14,654 anggota melakukan pemantauan di 5,839 restoran, pasar raya (4,481), bank (3,936), penjaja (3,019), pasar awam dan tani (2,184), kilang (2,163) dan pejabat kerajaan (731)," katanya.

Beliau berkata, turut dipantau tempat ibadah (3,332), tempat riadah (1,810), terminal pengangkutan darat (1,759), terminal pengangkutan air (347) dan terminal pengangkutan udara (106).

Mengenai kawalan sempadan negara, Op Benteng semalam berjaya menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat.

"Dalam operasi itu juga, pihak berkuasa turut mengesan 115 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

"Seramai tujuh PATI turut diusir melalui tiga aktiviti pengusiran. Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritm Malaysia), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain membabitkan 256 sekatan jalan raya," katanya.

Berita Harian X