Rabu, 7 April 2021 | 7:28pm
Hasanah menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi, hari ini. - FOTO BERNAMA
Hasanah menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi, hari ini. - FOTO BERNAMA

Rakaman CCTV ditayang hampir sejam di mahkamah

KUALA LUMPUR: Beberapa pegawai tadbir dan diplomatik Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), dilihat menarik beberapa bagasi pelbagai saiz berwarna hitam serta merah, keluar masuk dari aras menempatkan pejabat bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid, dan timbalannya.

Ia berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada 163 fail rakaman CCTV yang ditayangkan hampir satu jam di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Rakaman itu ditayangkan pada perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) dihadapi Hasanah yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyelidikan JPM.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Farid Ahmad Kamal, mengemukakan rakaman CCTV, ketika pemeriksaan utama terhadap Pegawai Siasatan di Bahagian Forensik Teknologi, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Badri Azni, 37.

Rakaman itu menunjukkan beberapa lelaki menarik beberapa bagasi keluar dan masuk melalui lif di aras satu, aras tujuh serta anjung kereta, Blok B4 JPM, pada 30 April dan 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, mahkamah tidak diberitahu mengenai kandungan bagasi terbabit.

Ketika disoal balas peguam, Muhammad Ashraff Mohd Diah yang mewakili Hasanah, sama ada tertuduh (Hasanah) dilihat dalam ratusan fail rakaman yang ditunjukkan di mahkamah, hari ini, Badri yang merupakan saksi pendakwaan kelapan menjawab: "Tiada".

Sementara itu, bekas polis bantuan JPM, Norrashid Mahmud, 59, berkata berdasarkan rakaman terbabit, beliau mengenali kesemua individu yang dipaparkan.

"Mereka adalah pegawai tadbir dan diplomatik di Blok 4, JPM (Bahagian Penyelidikan)," katanya menjawab soalan tambahan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, pada hari keenam perbicaraan kes itu.

Ketika membacakan penyataan saksinya, Norrashid yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata, beliau mengenali semua pegawai dan kakitangan di bahagian berkenaan, kerana telah bertugas lebih 20 tahun sebelum bersara pada 20 Oktober tahun lalu.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan JPM (ketika itu), melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.

Hasanah didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, bersambung pada 12 April ini.

Namun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah pada 12 hingga 16 April ini bagi mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup, kerana ia membabitkan isu keselamatan negara. – BERNAMA

Berita Harian X