Rabu, 7 April 2021 | 2:37pm

Bekas kakitangan Imigresen dalang sindiket keluar PLKS

KUALA LUMPUR: Seorang daripada lima suspek sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam adalah bekas kakitangan Jabatan Imigresen.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata individu itu berhenti berkhidmat beberapa tahun lalu dan dikatakan berperanan sebagai mediator sindiket terbabit untuk mengguna pakai sistem dan penduaan PLKS.

Beliau berkata, bekas kakitangan Imigresen itu dipercayai individu memberi laluan kepada penubuhan sindiket terbabit.

"Lima tangkapan dibuat membabitkan orang awam dan ketua sindiket bergelar Datuk, berusia antara 33 hingga 43 tahun di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah, semalam, selain semua mereka direman enam hari sehingga Isnin ini.

"Dalam siasatan kami, mereka menggunakan 'router' (penghala) untuk menggodam kata laluan (ID) sistem pegawai Imigresen dan mencetak PLKS ini dari luar pejabat Jabatan Imigresen," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, hari ini.

Azam (kanan) bersama Khairul Dzaimee (dua dari kanan) melihat kenderaan mewah yang dirampas pada sidang media Op Hack di Pejabat SPRM Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Azam (kanan) bersama Khairul Dzaimee (dua dari kanan) melihat kenderaan mewah yang dirampas pada sidang media Op Hack di Pejabat SPRM Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

BH semalam, melaporkan sindiket pengeluaran PLKS tumpas menerusi Ops Hacks kendalian SPRM dengan kerjasama Imigresen, antara lain turut merungkai ketirisan dianggarkan bernilai RM4.7 juta kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi semalam. Semua ditahan hasil risikan SPRM dan Imigresen, sejak setahun lalu.

Azam turut berkata, sindiket penggodaman pangkalan data Imigresen yang ditumpaskan SPRM semalam menggunakan 'router' (penghala) diletakkan di lobi dan komputer pegawai jabatan berkenaan.

Mendedahkan modus operandi (MO) sindiket itu, beliau berkata, sindiket itu dipercayai turut menggunakan khidmat pegawai dan kakitangan Imigresen yang masih berkhidmat, tetapi setakat ini belum ada tangkapan dibuat menerusi pasukan khas ditubuhkan bersama Imigresen sejak tahun lalu.

"Kami percaya bekas kakitangan Imigresen mempunyai maklumat berhubung sistem PLKS dan bersekongkol dengan sindiket ini untuk menggodam sistem yang boleh mencetak PLKS palsu.

"Router ini dipercayai diletakkan di kawasan dalam jabatan seperti lobi dan komputer pegawai bertugas untuk membolehkan kata laluan (ID) digodam," katanya.

Lima individu direman bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu. - Foto SPRM
Lima individu direman bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu. - Foto SPRM
Berita Harian X