Khamis, 25 March 2021 | 6:20pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Individu ingkar SOP PKP menurun

KUALA LUMPUR: Seramai 41 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, menurun berbanding 54 kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada 41 individu yang ditahan, seramai 28 orang dikompaun manakala 13 lagi direman.

Beliau berkata, antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri serta pelanggan membabitkan 24 orang, tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (lima) dan tiada penjarakan fizikal (dua).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 67,134 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.

"Sebanyak 3,866 pasukan pematuhan membabitkan 16,934 anggota membuat pemantauan terhadap 5,571 restoran; pasar raya (7,122); bank (4,316); penjaja (2,953); pasar awam serta tani (2,487); kilang (2,215) dan pejabat kerajaan (1,134).

"Turut dipantau tempat ibadah (3,409); tempat riadah (1,695); terminal pengangkutan darat (1,472); terminal pengangkutan air (424) dan terminal pengangkutan udara (112)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala dua kenderaan darat dirampas.

Katanya, pihak berkuasa mengesan 96 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan menerusi operasi itu.

"Seramai enam PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran.

"Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) menjalankan 266 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 61 operasi sanitasi dilakukan merangkumi 19 zon merah, 10 zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau di seluruh negara semalam.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan 281 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 220 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 54 jentera JBPM.

"Pada hari sama, seramai 865 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan sudah dikuarantin.

"Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 153,668 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 75 hotel, sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 26 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam, dengan semua tapak didapati patuh SOP.

Katanya, CIDB melakukan 16,348 pemeriksaan membabitkan 9,250 tapak binaan sejak 20 April 2020.

"Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 742 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan peruncit (557), pemborong (153) dan pengilang (32).

"KPDNHEP juga melakukan 2,181 pemeriksaan khas dan semua premis didapati mematuhi SOP," katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 2,890 pekerja asing menjalani ujian saringan semalam dan lima didapati positif COVID-19.

"Setakat ini, seramai 651,081 pekerja asing menjalani ujian saringan membabitkan 33,781 majikan.

"Daripada jumlah pekerja itu, 10,034 disahkan positif COVID-19, manakala 641,047 lagi negatif," katanya.

Berita Harian X