Khamis, 25 March 2021 | 12:35pm
Lokasi kejadian struktur pelancar gantri jatuh di tapak Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang menyebabkan tiga terbunuh. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Lokasi kejadian struktur pelancar gantri jatuh di tapak Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang menyebabkan tiga terbunuh. - NSTP/Eizairi Shamsudin

JKKP mulakan siasatan insiden di SUKE

PUTRAJAYA: Siasatan terhadap kemalangan membabitkan struktur pelancar gantri (gantry launcher) jatuh di tapak Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Pakej CA3, Isnin lalu sudah dimulakan dan dijangka lengkap dalam tempoh sebulan.

Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam satu kenyataan, berkata siasatan itu akan membabitkan pemerhatian dan penelitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan.

Menurut kenyataan itu antara tindakan yang boleh diambil termasuk tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 15 dan 17 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya ketika bekerja, dan keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

"Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen itu ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Selain itu, Notis Larangan yang dikeluarkan oleh jabatan hanya akan dibatalkan selepas majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan kemalangan," katanya.

Pada masa sama, JKKP berkata, sebanyak 14,786 pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) dijalankan jabatan itu di sektor pembinaan, dan daripada jumlah itu sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.

Katanya, JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada membabitkan pekerja mahupun orang awam, manakala majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan terhadap pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan," katanya.

JKPP turut mengingatkan pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor untuk memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan seawal peringkat reka bentuk projek pembinaan.

Katanya, ia akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Media sebelum ini melaporkan tiga maut dan seorang cedera selepas struktur kren gantri di tapak projek pembinaan SUKE, pakej CA3 terjatuh dan menghempap sebuah kereta di Alam Damai, Cheras, kira-kira jam 8.30 pagi Isnin lalu.

Susulan kemalangan itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengarahkan projek pembinaan SUKE dihenti serta-merta sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.

Beliau dilaporkan berkata, jalan raya di sekitar projek pembinaan turut ditutup sehingga tahap keselamatan disahkan selamat oleh agensi terbabit manakala pemaju sudah diarah mencari laluan alternatif memandangkan penduduk di sebuah apartmen berdekatan tidak mempunyai akses lain ke kediaman itu kecuali menggunakan jalan berkenaan.

Berita Harian X