Isnin, 22 March 2021 | 10:06pm
Kerja pengalihan struktur besi kren yang jatuh dan menghempap kenderaan di tapak pembinaan SUKE di Alam Damai, Cheras. - Foto BERNAMA
Kerja pengalihan struktur besi kren yang jatuh dan menghempap kenderaan di tapak pembinaan SUKE di Alam Damai, Cheras. - Foto BERNAMA

PROLINTAS utamakan keselamatan

KUALA LUMPUR: Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd sentiasa mengambil langkah sewajarnya, bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam, dalam pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata kontraktor terbabit dengan pembinaan SUKE sentiasa diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, mereka disaran mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan seperti mengadakan sesi 'tool box' atau taklimat keselamatan pada setiap hari, sebelum memulakan tugas.

"Latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan juga diadakan secara berkala. Pengaktifan pelan lalu lintas yang diluluskan pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan, juga diperoleh dan dilaksanakan, demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Dari hari pertama PROLINTAS menggalas tanggungjawab untuk membangunkan projek ini, kami mengambil berat terhadap aspek keselamatan, memandangkan lebih 90 peratus jajaran SUKE membabitkan kerja di tempat tinggi dan berada di atas jalan raya yang sedia ada serta trafik berkapasiti tinggi.

"Kami berusaha untuk bekerja sebagai satu pasukan dan objektif kami sangat jelas, iaitu memastikan projek dibina dengan cara yang paling selamat, siap tepat pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

"Insiden hari ini amat mendukacitakan dan PROLINTAS akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan terus menambah baik proses serta pelaksanaan projek sedia ada.

"PROLINTAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden kemalangan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi, tiga maut selepas struktur kren gantri di tapak projek pembinaan SUKE, dan menghempap sebuah kereta di Alam Damai, Cheras.

Mohammad Azlan berkata, sembilan kontraktor utama terbabit dalam pembinaan SUKE, selain jurutera perunding bebas untuk membuat reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan pelbagai aspek.

Katanya, PROLINTAS mempunyai pasukan dalaman yang terdiri daripada jurutera berpengalaman bagi memantau kerja kontraktor terbabit.

"Ada juga audit keselamatan mingguan yang dilakukan bagi menilai kerja dan kepatuhan terhadap SOP keselamatan serta kesihatan, yang dipantau secara langsung oleh PROLINTAS," katanya.

Berita Harian X