Isnin, 15 March 2021 | 12:27pm
Perairan Tanjung Tuan yang dicemari minyak pada 12 Oktober tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Perairan Tanjung Tuan yang dicemari minyak pada 12 Oktober tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tanam semula hutan bakau di Tanjung Tuan

MELAKA: Kerajaan Melaka merancang melakukan penanaman semula hutan bakau di kawasan Tanjung Tuan selepas kesan pencemaran akibat sisa tumpahan minyak kapal dari Selat Melaka pada Oktober tahun lalu dibersihkan sepenuhnya.

Sebelum ini, kerja pembersihan sudah dilakukan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, namun sebahagian besar hutan bakau dicemari sisa minyak yang melekat pada batang serta daun, mengakibatkan pokok bakau musnah.

Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, berkata isu sebahagian besar hutan paya bakau di Tanjung Tuan yang musnah akibat sisa tumpahan minyak itu akan ditangani segera.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan berkaitan untuk memastikan hidupan di pesisir pantai kembali pulih.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan,.
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan,.

"Saya akan mengadakan perbincangan segera berhubung isu hutan bakau yang musnah ini dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam tempoh terdekat.

"Sudah pasti kita akan menanam semula pokok bakau di kawasan itu selepas sisa minyak dibersihkan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan BH semalam mengenai keadaan hutan pesisir pantai Tanjung Tuan, yang menjadi penampan penting hakisan pantai di Melaka kini berada dalam situasi nazak dan dijangka bakal lenyap selepas sisa tumpahan minyak kapal dari Selat Melaka dikesan begitu banyak 'mendarat' dan amat sukar dibersihkan.

Keratan akhbar BH, semalam.
Keratan akhbar BH, semalam.

Jika gagal diselamatkan, ini bermakna hutan berstatus hutan simpan kekal bakal pupus berpunca daripada kecuaian dan kegiatan manusia.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan Melaka menangani isu sisa tumpahan minyak kapal yang mengakibatkan hutan pesisir pantai Tanjung Tuan semakin nazak.

"Banyak agensi terbabit, tetapi kami akan berhubung dengan kerajaan Melaka untuk bekerjasama," katanya.

"Sebenarnya KASA sedang meneliti laporan situasi hutan dan sedang mengenal pasti punca masalah (pencemaran itu) serta mengapa ia belum diselesaikan," katanya selepas program gotong royong membersihkan dan membaiki Denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, semalam.

Perairan Tanjung Tuan di Port Dickson yang dicemari minyak.
Perairan Tanjung Tuan di Port Dickson yang dicemari minyak.

Berita Harian X