Isnin, 8 March 2021 | 11:38pm
Lokasi di mana mayat seorang wanita ditemui dengan kesan jerutan pada leher dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang siang tadi. - Foto Ihsan Pembaca
Lokasi di mana mayat seorang wanita ditemui dengan kesan jerutan pada leher dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang siang tadi. - Foto Ihsan Pembaca

IKRAM beri kerjasama dalam siasatan polis

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia sedia memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kematian seorang kakitangannya dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, hari ini.

Pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya sudah pun memberikan kerjasama yang diperlukan polis dan akan terus berbuat demikian bagi membantu siasatan.

"IKRAM telah, sedang dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini.

"Kebajikan keluarga dan waris almarhumah sedang diuruskan. Mohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga dan sahabat handainya," katanya.

IKRAM dalam satu kenyataan berasingan di laman Facebook rasminya, hari ini turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud yang bertugas sebagai Pengurus Jabatan Advokasi di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah yang berusia 32 tahun adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita sebelum dilantik sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.

Ucapan takziah oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia kepada keluarga kakitangannya, Nik Khatijah Nik Mud yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang siang tadi. Sumber: FB IKRAM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan, hari ini berkata mayat mangsa ditemui dengan kesan jerutan pada leher dalam rumah sewanyaselepas menerima aduan kejadian itu pada jam 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai lebih 24 jam meninggal dunia sebelum mayatnya ditemui.

Berita Harian X