Ahad, 7 March 2021 | 1:14pm
GEONAT menemui jejak laluan purba berusia lebih 100 tahun di kawasan selatan Gunung Lanno, Simpang Pulai. FOTO BERNAMA
GEONAT menemui jejak laluan purba berusia lebih 100 tahun di kawasan selatan Gunung Lanno, Simpang Pulai. FOTO BERNAMA

Laluan berusia 100 tahun ditemui di Simpang Pulai

IPOH: Kajian sebuah persatuan warisan mendapati wujud laluan zaman purba menghubungkan dua kampung di kawasan selatan Gunung Lanno, Simpang Pulai di sini yang dipercayai digunakan penduduk lebih 100 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT), Mohd Fadly Md Noor berkata, pihaknya menjelajah kawasan berkenaan selepas menerima maklumat daripada penduduk setempat, kira-kira tiga bulan lalu.

"Kami dipanggil membuat kajian dan selepas melakukan tinjauan berdasarkan peta topografi lama diterbitkan pada tahun 1916, kami menemui kesan laluan pernah digunakan pada zaman dulu.

"Antara penemuan kami termasuklah terowong panjang dan struktur batu berbentuk tangga di dalam gua," katanya.

Beliau berkata, laluan itu dipercayai digunakan bagi menghubungkan dua perkampungan, iaitu Teluk Kangor dan Serba Jadi ketika zaman Propaganda British di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama, namun kebanyakan kawasan kampung itu kini menjadi kawasan perindustrian.

Katanya, hasil penemuan itu akan dibentangkan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan kajian lanjut dijalankan dengan lebih terperinci di lokasi diwartakan sebagai zon kuari, di bawah pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah.

"Selain itu, terdapat keunikan pada kawasan terbabit yang kami percaya berpotensi dimajukan menjadi pusat konservasi, malah sesuai dijadikan lokasi aktiviti seperti berkayak atau lokasi pelancongan, kerana terdapat kolam sedalam kira-kira dua meter (m) berkeluasan 4,000 meter persegi.

"Kajian lanjut boleh dijalankan pengkaji sejarah atau institut pengajian tinggi, kerana kami mendapati ada kawasan kolam air berbentuk 'H' yang unik mengalir dari kawasan bukit," katanya.

Mohd Fadly berkata, jika kawasan itu dapat diusahakan sebagai tempat tumpuan pelancong, ia bakal menjadi gua pertama dengan penyediaan aktiviti air, terutamanya berkayak di Perak.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan kajian lanjut struktur batu dan persekitaran kawasan gua itu, serta aspek keselamatan termasuk mengenal pasti masa sesuai untuk dikunjungi berdasarkan paras air dan faktor cuaca, bersama ahli persatuan yang terdiri daripada pakar selam, jururawat dan penyelam. - BERNAMA

Berita Harian X