Jumaat, 5 March 2021 | 12:58am
FADILLAH meninjau kemajuan Projek Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan, baru-baru ini. Foto ihsan KKR
FADILLAH meninjau kemajuan Projek Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan, baru-baru ini. Foto ihsan KKR

Pakej rangsangan ekonomi ringankan beban kontraktor

KUALA LUMPUR: Beberapa inisiatif dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) sepanjang tahun lalu dapat meringankan beban pemain industri infrastruktur dan pembinaan, khususnya kontraktor kecil.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata beberapa langkah, khususnya menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), amat membantu mengurangkan beban kewangan dihadapi usahawan kontraktor.

Antara usaha itu, katanya, termasuklah penangguhan bayaran levi sebanyak enam kali kepada sektor swasta, lanjutan tempoh sah perakuan kepada 317,952 personel binaan, pengecualian syarat mata Continuous Contractor Development (CCD) kepada 11,388 kontraktor dan pengecualian syarat Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (MCORE) yang memanfaatkan 23,659 kontraktor G1.

"Pengurusan KKR di bawah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sangat prihatin dan mengambil berat hal ehwal pemain industri pada setiap masa sepanjang pandemik menular.

"Setiap dua bulan, pasti ada libat urus bersama pemain industri seperti persatuan kontraktor, perunding dan juruukur bahan untuk mencari titik persamaan dan membantu usahawan kontraktor dalam isu berkait COVID-19," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, katanya, agihan peruntukan daripada pakej PRIHATIN berjumlah RM450 juta memberi kelegaan kepada kontraktor kecil, sekali gus dapat memastikan kelangsungan operasi mereka.

"Kontraktor kini tak perlu resah kerana saya dimaklumkan memang banyak tender untuk kontraktor kecil sudah dan akan dikeluarkan. Mereka hanya perlu tengok tender secara maya dan bida," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon, menyifatkan KKR dan Fadillah mencapai standard yang diharapkan pemain industri walaupun ketika pandemik.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan, hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi, namun Menteri Kerja Raya bertindak dengan cepat untuk merayu supaya sektor pembinaan turut dibenarkan beroperasi bermula Mei tahun lalu.

"Kami juga kerap mengadakan libat urus bersama menteri untuk pemain industri memaklumkan masalah dihadapi, dan ia akan dibincangkan ke peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Menerusi Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB), KKR amat membantu kami menghadapi cabaran, walaupun tak semua boleh diselesaikan, khususnya dalam isu yang turut membabitkan kementerian lain," katanya.

Heng Choon berkata, antara isu yang diselesaikan KKR selepas dibangkitkan pihak industri adalah membabitkan beban ditanggung kontraktor kecil untuk ujian saringan COVID-19, yang diatasi menerusi peruntukan RM7 juta melalui CIDB yang diumumkan baru-baru ini.

"Ketika ini, kami harapkan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) digerakkan secepat mungkin untuk merancakkan ekonomi, sekali gus peluang seluruh rantain nilai mendapat manfaat, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu," katanya.

Berita Harian X