Jumaat, 5 March 2021 | 12:50am
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dasar KKR bantu sektor pembinaan kekal mapan

KUALA LUMPUR: Penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak besar kepada industri pembinaan dan infrastruktur negara sepanjang tahun lalu, yang dilaporkan mengalami kerugian sekitar RM11.6 bilion sebulan ketika langkah itu dilaksanakan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru mengambil alih pentadbiran Februari tahun lalu terpaksa berhadapan dengan keadaan yang amat sukar. Cabaran utama adalah memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjaga tetapi pada masa sama memastikan kegiatan ekonomi negara dapat dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat terjaga.

Justeru, bagi menjaga kelestarian sektor kerja raya dan infrastruktur, tanggungjawab memulihkan sektor itu dan menjaga kebajikan kelompok berkaitan, jatuh di atas bahu Datuk Seri Fadillah Yusof. Sebagai Menteri Kanan (Infrastruktur), beliau dipertanggungjawabkan menjaga enam kementerian di bawah portfolio itu.

Di samping kembali menggalas tugas Menteri Kerja Raya di bawah kerajaan PN, lima lagi kementerian turut berada di bawah pemantauannya iaitu Kementerian Pengangkutan; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Namun, sejajar iltizam kukuh seluruh jentera pentadbiran, seperti yang dizahirkan menerusi slogan Setahun Malaysia Prihatin, kejayaan yang dicapai kerajaan sangat memberangsangkan dalam aspek merangsang ekonomi, menjana pertumbuhan dan memastikan daya tahan pengusaha terutama kontraktor kecil.

Bagi Fadillah, walaupun menggalas tugas dalam tempoh sukar, keadaan itu bukan beban, sebaliknya beliau dan pasukan mengubah keadaan menjadi kejayaan seperti yang dinyatakan oleh petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kerja Raya (KKR) mencapai 99 peratus sepanjang tahun lalu.

Pencapaian itu merangkumi kemajuan pelaksanaan beberapa projek pembinaan infrastruktur mega kerajaan, naik taraf dan baik pulih jalan raya serta lebih penting membabitkan kebajikan pemain industri yang terjejas akibat COVID-19.

FADILLAH (temgah) mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan untuk meninjau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika PKP di Projek Pembinaan Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto ihsan KKR
FADILLAH (temgah) mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan untuk meninjau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika PKP di Projek Pembinaan Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto ihsan KKR

"Apabila berlaku pandemik COVID-19, sudah pasti ia menjadi cabaran besar kepada KKR dan seluruh negara, tetapi Alhamdulillah pada peringkat KKR, kita masih dapat mencapai KPI 99 peratus daripada yang ditetapkan.

"Ini merangkumi kemajuan beberapa projek utama negara walaupun dalam situasi pandemik seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, projek Central Spine Road (CSR) dari Bentong, Pahang ke sempadan Kelantan, serta sambungannya iaitu Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

"Projek lain termasuklah menaik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) antara Selangor dan Perak, yang juga sebahagian projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE). Ini semua sedang rancak dilaksanakan, dengan ada yang sudah siap, dalam proses pembinaan atau di peringkat perolehan dan rekaan," katanya pada sidang media pencapaian setahun KKR sempena Setahun Malaysia Prihatin di sini, baru-baru ini.

Walaupun industri pembinaan terpaksa dihentikan ketika PKP tahun lalu, Fadillah berkata, beberapa projek utama seperti Lebuhraya Pan Borneo menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan kemajuan 60 peratus di Sarawak dan 40 peratus di Sabah.

Turut menjadi kebanggaannya adalah projek CSR dengan kemajuan kira-kira 21 peratus atau 66.53 kilometer (km) daripada keseluruhan 310.1 kilometer siap dibina, yang bakal menamatkan episod kesesakan jalan raya teruk menuju ke Pantai Timur, khususnya ketika musim perayaan.

Projek menaik taraf FR5, laluan Tanjong Karang-Sabak Bernam di Selangor pula dijangka siap pada 15 Disember depan, manakala laluan Teluk Intan-Kampung Lekir di Perak bakal siap pada 6 Ogos tahun ini, di samping laluan Sabak Bernam-Hutan Melintang yang sudah siap pada 2018.

"KKR juga memberi tumpuan rawatan blackspots, iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan, dan 159 lokasi blackspots di Jalan Persekutuan dirawat sepanjang tahun lalu untuk keselamatan 12.1 juta pengguna, dengan peruntukan berjumlah RM43.1 juta," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian yang lebih bermakna kepadanya adalah membabitkan agihan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM450 juta kepada hampir 1,000 kontraktor kecil.

"Lebih dekat di hati saya, Perdana Menteri dan anggota Kabinet ialah pakej PRIHATIN bernilai RM450 juta yang membantu 962 kontraktor kecil kategori G1 hingga G4, membabitkan 1,056 projek setakat 15 Februari lalu.

"Peruntukan itu diberikan melalui konsesi, sebelum syarikat kecil dilantik melaksanakan projek. Maknanya, projek ini sampai terus ke akar umbi, ke peringkat daerah untuk baiki jalan, bina stesen bas, kemas kawasan dan sebagainya.

"Walaupun RM450 juta itu nampak kecil, impaknya sewaktu pandemik ini begitu besar kepada kontraktor G1 hingga G4. Ini sebenarnya dapat menggerakkan ekonomi peringkat daerah," katanya.

Fadillah yang pernah menyandang jawatan Menteri Kerja Raya pada 2013 hingga 2018 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), yakin kemajuan projek di bawah kontrak kerajaan tidak teruk terkesan kerana lanjutan tempoh hanya diberikan ketika PKP pertama tahun lalu.

"Mana-mana projek kerajaan di bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR), diberi lanjutan tempoh 114 hari secara automatik tanpa sebarang kos tambahan, begitu juga projek di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang sedang berjalan, diberi lanjutan tempoh secara automatik," katanya.

Walaupun industri pembinaan teruk terkesan ketika PKP pertama, Fadillah optimis pemulihannya kini berada di landasan tepat dan nilai kerugian itu sudah semakin mengecil selepas sektor pembinaan dibenarkan beroperasi hingga kini.

Menurut Fadillah, isu yang membelenggu sektor pembinaan ketika ini hanya membabitkan kemampuan beroperasi pada kapasiti penuh, dan dijangka boleh diatasi dengan kelulusan RM7 juta menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi membantu syarikat pembinaan kecil menjalankan saringan COVID-19 pekerja asing.

"Sepanjang tahun lalu, pelaksanaan projek dalam industri pembinaan membabitkan projek awam dan swasta adalah bernilai RM78 bilion, dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 4 peratus, di samping memberi impak gandaan dalam ekonomi kepada sekitar 196 industri lain.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 131 projek adalah di bawah KKR, yang mana 111 disiapkan dengan nilai RM3.95 bilion," katanya.

Ditanya perubahan dilakukan KKR susulan pandemik, Fadillah memaklumkan pihaknya membuat beberapa perubahan dalam aspek tadbir urus supaya disesuaikan dengan pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Antaranya, katanya, ialah JKR memperkenalkan pelaksanaan proses tender secara digital bagi mengatasi isu dokumen tender tidak dapat dibeli dan diserahkan kerana sekatan rentas daerah dan negeri.

"Melalui proses dalam talian, semua dokumen tender boleh dimuat turun dan boleh dihantar secara fizikal atau menerusi kurier (khidmat kiriman cepat), sekali gus mempercepatkan proses," katanya.

Berita Harian X