Khamis, 4 March 2021 | 10:07pm
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya, petang tadi. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU di Putrajaya, petang tadi. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

BERSATU pandang serius pendirian UMNO tolak kerjasama

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memandang serius pendirian UMNO menolak kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kerjasama berkenaan memberi implikasi besar kepada kerjasama masa depan di antara UMNO, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam hal ini, beliau menegaskan, BERSATU memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN, iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur serta ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

"BERSATU juga berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Pengerusi PN, mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di sebuah hotel di sini.

Mesyuarat bermula pada jam 4.30 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee; Datuk Dr Radzi Jidin serta Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Selain itu, Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun serta semua ahli MPT.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat itu, Hamzah berkata, BERSATU menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuh tempoh setahun mentadbir negara.

Katanya, sepanjang tempoh itu, kerajaan PN berjaya menjulang prinsip urus tadbir yang baik, telus serta berintegriti terutama dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

"Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

"Justeru, BERSATU mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan menghantar surat kepada Muhyiddin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.

Surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan UMNO dengan kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Berita Harian X