Khamis, 4 March 2021 | 9:40pm
Individu dari Sabah ke Semenanjung tidak perlu lagi mengambil ujian saringan COVID-19. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Individu dari Sabah ke Semenanjung tidak perlu lagi mengambil ujian saringan COVID-19. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Individu Sabah ke Semenanjung tak perlu saringan

KOTA KINABALU: Individu dari Sabah tidak perlu lagi menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 untuk ke Semenanjung, sejajar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula esok.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, menerusi kenyataannya malam ini, berkata perubahan syarat pergerakan itu berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, individu dari negeri ini masih diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19, jika ke Sarawak dan Labuan seperti ditetapkan kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi kemasukan individu dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan ke Sabah pula, beliau berkata, mereka masih perlu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum bertolak.

"Kawalan pergerakan semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19, dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan dan hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif, dibenarkan masuk ke Sabah," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan negeri juga hanya membenarkan lima kategori individu memasuki negeri ini.

Antara kategori terbabit, katanya ialah kemasukan domestik untuk pemegang MyKad dan MyPR berkod 'H' atau penduduk berasal dari Sabah dan suami atau isteri rakyat Sabah serta tanggungan mereka.

Kategori seterusnya ialah pemegang pas imigresen jangka panjang dan pas sementara yang sah tempoh meliputi individu yang bekerja di Sabah seperti anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pekerja sektor swasta serta tanggungan.

Turut disenaraikan ialah pelajar sedia ada dan pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Sabah serta penjaga mereka dan pelajar di institusi negeri termasuk yang bukan warga negara.

Selebihnya ialah Individu dan pasangan yang menghadiri tugas rasmi, mesyuarat, urusan kecemasan atau temujanji di hospital, bernikah atau berkahwin dan pemandu pengangkutan darat melalui jalan darat dari Sarawak dan Labuan.

"Bagi kategori yang tidak dinyatakan, mereka wajib memohon kebenaran khas dengan merujuk kepada Panduan Kebenaran Masuk ke Sabah dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri.

"Maklumat lanjut berhubung syarat kemasukan boleh disemak dalam laman sesawang https://hednp.sabah.gov.my/," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan sebanyak 78 kes baharu COVID-19 hari ini, manakala seramai 94 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan baki masih dirawat setakat ini seramai 701 orang.

Katanya, hari ini, sebanyak 10 daerah masih berada dalam zon merah, diikuti tiga daerah dalam zon jingga, 13 daerah dalam zon kuning dan satu daerah kekal dalam zon hijau iaitu Tongod.

From: Thaddius

Berita Harian X