Khamis, 4 March 2021 | 8:23pm

Kematian kerana COVID-19 tinggi di rumah perlindungan

PUTRAJAYA: Kadar kematian disebabkan COVID-19 dalam kalangan penghuni rumah perlindungan warga emas didapati agak tinggi berbanding kadar kematian kebangsaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini, kadar kematian dalam kalangan golongan rentan itu adalah sebanyak 1.48 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 yang dilaporkan manakala kadar kematian kebangsaan adalah pada paras 0.38.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 610 penghuni di rumah perlindungan warga emas sudah dijangkiti COVID-19, membabitkan seramai 583 rakyat tempatan atau 95.6 peratus dan 27 bukan warganegara (4.4 peratus).

"Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 21 kluster jangkitan membabitkan rumah perlindungan warga emas, dua daripadanya pada gelombang kedua dan 19 lagi pada gelombang ketiga.

"Ketika ini, 15 kluster masih lagi aktif manakala enam sudah tamat dan jumlah keseluruhan mereka yang disaring dari rumah perlindungan warga emas adalah sebanyak 1,840," katanya pada sidang media mengenai penularan COVID-19 di negara ini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara strategi kerjasama dalam menangani penularan COVID-19 ialah untuk melindungi kumpulan rentan.

Justeru, beliau berkata, KKM sudah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk rumah perlindungan warga emas.

"Apa yang penting ialah untuk memastikan pematuhan SOP. KKM juga menyediakan penilaian berkala dan saringan di rumah perlindungan warga emas.

"Pada masa sama, pihak terbabit perlu memastikan tidak ada pertemuan bersemuka apabila rumah itu didatangi pelawat," katanya.

Berita Harian X