Khamis, 4 March 2021 | 8:21pm
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto BERNAMA

Aktiviti pusat hiburan rekod kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR: Aktiviti pusat hiburan dikesan menjadi kesalahan tertinggi dengan 134 kes direkodkan semalam oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya mengharapkan dengan pelaksanaan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 bermula 11 Mac ini, akan menyaksikan perubahan membabitkan kesalahan aktiviti terbabit.

Beliau berkata, dengan kenaikan denda bagi individu sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM50,000, ia diharap dapat memberi pengajaran kepada golongan terbabit yang sebelum ini mengingkari arahan pihak berkuasa.

"Penganjur kelab malam setakat bayar RM1,000 mereka tak peduli sebab peroleh keuntungan berpuluh ribu satu malam sebab itu kita tingkatkan hukuman untuk syarikat sehingga RM50,000 bagi satu kesalahan.

"Begitu juga dengan pengunjung kelab malam tidak berkurangan kerana denda RM1,000 tidak memberi kesan buat mereka maka dengan kenaikan kepada RM10,000 mungkin ada perubahan dan boleh mengurangkan jumlah kesalahan itu," katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan PDRM menahan 499 individu atas kesalahan ingkar PKP dengan 492 daripadanya dikompaun, empat direman dan tiga dijamin.

Beliau berkata, antara kesalahan lain ialah 86 kes membabitkan gagal menyediakan peralaran atau merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka (62), tiada penjarakan fizikal (58), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (28) dan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (27).

"Melalui operasi Benteng pula, seramai 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan enam buah kenderaan darat dirampas selain 139 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara, semalam," katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 870 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan semuanya sudah dikuarantin wajib.

Katanya, bagi pemeriksaan di tapak binaan pula, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 40 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam dan mendapati semuanya mematuhi prosedur operasi standard.

"Semalam juga, seramai 8,160 warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sembilan didapati positif.

"Bagi pemantauan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan 1,956 pemeriksaan khas pematuhan SOP, 1,950 daripadanya patuh, manakala enam lagi diberi nasihat," katanya.

Berita Harian X