Khamis, 4 March 2021 | 8:03pm

Kelulusan bersyarat bolehkan kerajaan peroleh vaksin COVID-19

PUTRAJAYA: Kelulusan bersyarat yang diberikan kepada vaksin COVID-19 oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) antara lain membolehkan kerajaan mendapatkan perolehan vaksin itu sebelum ia boleh diedarkan kepada pusat perubatan swasta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini kerajaan berdepan kekangan mendapatkan jumlah vaksin untuk diberikan kepada penduduk di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya perlu memberikan pengkhususan kepada golongan yang memerlukan terlebih dahulu seperti petugas kesihatan dan barisan hadapan.

Katanya, pemberian vaksin secara percuma dan berperingkat-peringkat mengikut fasa akan diberikan kepada golongan rentan pada fasa kedua manakala pelalian kepada individu berusia antara 18 hingga 60 tahun fasa seterusnya.

"Kita dalam proses untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk diberikan kepada populasi di Malaysia supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

"Kerajaan akan kenal pasti hospital dan klinik swasta untuk pemberian vaksin. Setakat ini untuk fasa pertama, hospital swasta dijadikan pusat pemberian vaksin COVID-19," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dikembangkan kepada lebih banyak hospital swasta pada fasa seterusnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai untuk memastikan mereka menerima vaksin COVID-19 dari fasiliti kesihatan KKM yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Beliau yang menyifatkan mengenai iklan penjualan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech melalui media sosial sebagai palsu berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM melalui unit forensik siber juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan INTERPOL, untuk memantau keadaan semasa termasuk penjualan vaksin dalam talian.

Katanya, vaksin yang menerima pendaftaran bersyarat hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan, iaitu untuk dijadikan pusat vaksinasi.

Sebelum ini, tular melalui media ssial iklan penjualan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang didakwa dijual dengan harga RM63.88.

Berita Harian X