Khamis, 4 March 2021 | 7:30pm
 Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (belakang empat, kanan) bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (belakang tiga, kiri) menyaksikan Majlis) menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (belakang empat, kanan) bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (belakang tiga, kiri) menyaksikan Majlis) menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. - Foto BERNAMA

RM699 juta hutang pinjaman air Kedah dihapus kira

ALOR SETAR: Kerajaan Pusat bersetuju melaksanakan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar Kedah berjumlah RM699 juta yang menjadi antara sebahagian Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air negeri itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perjanjian berkenaan akan menyaksikan pinjaman bekalan air Kedah yang sebelum ini berjumlah RM1.82 bilion dapat dikurangkan kepada RM1.12 bilion.

Jelasnya, turut diluluskan adalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sidam Kiri bernilai RM450 juta dan LRA Kodiang bernilai RM550 juta yang dijangka dapat memulakan operasi menjelang 2027.

"Kedah menjadi negeri kesepuluh menandatangani perjanjian ini selepas rundingan bagi memuktamadkannya dibuat sejak hampir tujuh tahun dan Kerajaan Pusat setuju menghapus hutang pinjaman berjumlah RM669 juta.

"Ini bermakna, bebanan hutang Kedah semakin kurang dan baki pinjaman RM1.12 bilion pula diambil alih Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selepas aset air negeri dicagar bagi mendapatkan dana melaksanakan projek berkaitan pengurusan air baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali dan Pengarah Urusan Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, bagi memastikan bekalan air negeri tidak bermasalah terutamanya pada musim kemarau, pihaknya turut meluluskan dua Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dapat menyimpan air ketika musim hujan.

"Isu besar di Kedah adalah sumber air, disebabkan itu kita luluskan dua Projek TAPS supaya air pada waktu banyak dapat ditakung agar dapat dimanfaat pada waktu bekalan air berkurangan.

"Ini berbeza dengan konsep empangan yang dibina di hulu kerana TAPS akan dibina di hilir sungai dan berdekatan LRA agar air mudah dirawat dan seterusnya dibekalkan kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, usaha sedang dilakukan bagi menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) Kedah yang kini berada pada tahap 43 peratus kepada 25 peratus yang dipercayai berlaku akibat masalah paip lama yang tidak diganti.

"Kedah memerlukan kos agak besar bagi menggantikan paip lama yang berusia 40 hingga 45 tahun. Terdapat tiga kaedah penggantian dirancang iaitu kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Pusat atau Kerajaan Pusat tanggung 70 peratus dan baki 30 peratus ditanggung negeri.

"Selain itu, kita turut galak syarikat berminat berbincang bersama syarikat air negeri bagi menggantikan paip lama berkenaan dan kadar NRW yang berjaya dikurangkan akan menjadi bayaran kepada syarikat terbabit," katanya.

Berita Harian X