Khamis, 4 March 2021 | 7:23pm
Antara kit persampelan air liur yang dilancarkan hari ini.
Antara kit persampelan air liur yang dilancarkan hari ini.

7 hospital penilaian persampelan COVID-19 guna air liur

PUTRAJAYA: Tujuh hospital Kementerian Kesihatan (KKM) sudah dikenal pasti untuk penilaian lapangan bagi penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur (deep throat saliva) bagi ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini, KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal).

Beliau berkata, persampelan air liur itu akan digunakan untuk kedua-dua ujian RT-PCR dan RTK-Ag bagi mengesan jangkitan dalam populasi.

"Kita harap dapat laporan lengkap sebelum kita mengetengahkan kaedah persampelan 'deep throat saliva' atau menggunakan air liur untuk menjalankan saringan RTK-Ag atau RT-PCR," katanya pada sidang media mengenai perkembangan penularan COVID-19 di negara ini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap ujian itu akan mendapat ketepatan dan kejituan yang dikehendaki.

Ketika ini, hospital yang sedang dan akan memulakan penilaian penggunaan air liur ialah, Hospital Kuala Lumpur; Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Melaka; Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Berita Harian X