Khamis, 4 March 2021 | 3:00pm
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

1MDB: Kerajaan tidak berkompromi tegakkan keadilan

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah berkompromi untuk menegakkan keadilan dan memastikan individu yang terbabit dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terus didakwa di mahkamah.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pada Julai 2020, kerajaan berjaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

AMMB Holdings Bhd juga, katanya telah bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan pembabitan Kumpulan AmBank di dalam isu 1MDB.

"Terkini, Deloitte PLT telah bersetuju dengan penyelesaian RM324 juta (AS$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan kewajipan fidusiari mereka semasa mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd bagi tempoh 2011 hingga 2014.

"Penyelesaian dengan Deloitte adalah penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh firma audit di Asia Tenggara.

"Penyelesaian ini adalah sebahagian daripada usaha tuntutan oleh Kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang terbabit, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-43, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penyelesaian terbaharu ini adalah bermanfaat bagi rakyat Malaysia kerana penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan membabitkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

Beliau menjelaskan, dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah terbabit akan dipercepatkan dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa.

Jumlah ini juga, katanya dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB.

"Penyelesaian global ini juga tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan serta yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB," katanya.

Berita Harian X