Rabu, 3 March 2021 | 7:50pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Deloitte buat penyelesaian RM324 juta berkaitan 1MDB, SRC

PUTRAJAYA: Deloitte PLT (Deloitte) bersetuju menyelesaikan semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tempoh 2011 hingga 2014 berjumlah RM324 juta (AS$80 juta).

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan terhadap pihak yang terbabit dalam 1MDB, SRC dan entiti yang berkaitan dengannya.

"Kerajaan bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terbabit secara langsung atau tidak dalam skim global 1MDB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pengumuman membabitkan Deloitte itu menjadi penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar sebuah firma audit di Asia Tenggara.

"Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte ini akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian berkenaan untuk memenuhi kewajipan tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal," katanya.

Julai lalu, hasil kejayaan rundingan kerajaan membabitkan skandal 1MDB, Goldman Sachs bersetuju membayar RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

Pada 26 Februari lalu pula, AMMB Holdings Bhd bersetuju dengan satu penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam kes 1MDB.

Penyelesaian global oleh AMMB Holdings adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Tengku Zafrul berkata, semua penyelesaian itu tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, selain yang masih giat dicari berhubung dengan skandal 1MDB.

"Kementerian Kewangan ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, SC, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini," katanya.

Berita Harian X