Rabu, 3 March 2021 | 11:59am
Beberapa kawasan di seluruh negara kini berada dalam situasi Gelombang Haba Tahap Kuning iaitu keadaan suhu tinggi luar biasa dengan keadaan cuaca agak panas sepanjang Februari hingga pertengahan April.
Beberapa kawasan di seluruh negara kini berada dalam situasi Gelombang Haba Tahap Kuning iaitu keadaan suhu tinggi luar biasa dengan keadaan cuaca agak panas sepanjang Februari hingga pertengahan April.

Sembilan kawasan hadapi Gelombang Haba Tahap Kuning

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di seluruh negara kini berada dalam situasi Gelombang Haba Tahap Kuning iaitu keadaan suhu tinggi luar biasa dengan keadaan cuaca agak panas sepanjang Februari hingga pertengahan April.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata Tahap Kuning atau fasa berjaga-jaga, membabitkan kawasan yang merekodkan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

"Hingga jam 5 petang semalam sebanyak sembilan kawasan di seluruh negara diletakkan pada Tahap Kuning.

"Ini termasuk kawasan Baling di Kedah; Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang, Hilir Perak (Perak); Jeli (Kelantan); Maran (Pahang) dan Tangkak (Johor)," katanya kepada BH.

MetMalaysia dalam paparan infografik di Twitter berkata, Gelombang Haba iaitu suhu tinggi luar biasa melebihi suhu maksimum purata harian kebiasaannya pada fasa akhir Monsun Timur Laut hingga awal Peralihan Monsun.

Keadaan itu boleh berlarutan hingga beberapa hari atau beberapa minggu dan boleh menyebabkan jerebu, kebakaran hutan, kemarau serta pengurangan air di empangan.

Selain Tahap Kuning, gelombang Haba ini boleh berlaku berlaku pada Tahap 2 atau Heatwave iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Tahap 3 atau Kecemasan berlaku apabila suhu maksimum melebihi 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dan Tahap 0 atau pemantauan apabila suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius.

Bagi mengurangkan kesan terhadap Gelombang Haba, orang ramai dinasihatkan minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan pembakaran terbuka serta menjimatkan penggunaan air.

Selain itu, pastikan tiada pencemaran air dilakukan serta bekalan air disimpan secukupnya.

Berita Harian X