Isnin, 1 March 2021 | 3:42pm
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin melawat operasi kemasukan murid Tahun 1 di SK Putrajaya Presint 5 (1) dan SK Putrajaya Presint 18 (1), hari ini. - Foto ihsan Facebook RADZI JIDIN
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin melawat operasi kemasukan murid Tahun 1 di SK Putrajaya Presint 5 (1) dan SK Putrajaya Presint 18 (1), hari ini. - Foto ihsan Facebook RADZI JIDIN

'Harap ibu bapa patuhi peraturan hantar, ambil anak'

PUTRAJAYA: Ibu bapa diminta bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk mengekang jangkitan COVID-19 di sekolah, termasuk mengurangkan kesesakan di hadapan sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya sudah memperincikan SOP untuk diguna pakai sebelum pembukaan sesi persekolahan tahun ini melalui perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, SOP yang disediakan adalah ketat manakala tahap pematuhan juga baik.

"Hari ini adalah hari pertama persekolahan murid Tahun Satu dan prasekolah. SOP kita adalah ibu bapa hantar anak-anak hanya setakat pagar sekolah.

"Alhamdulillah pagi tadi saya melawat dua sekolah, semua ibu bapa patuh anak-anak dihantar ke pagar sekolah dan anak dibawa masuk oleh guru ke kelas masing-masing.

"SOP ketat dan pematuhan baik, cuma ada sedikit perkara berkaitan penyuraian bila tiba waktu balik yang kita terima banyak pandangan daripada ibu bapa.

"Kita sudah maklumkan kepada pihak sekolah ada pelbagai model yang mereka boleh gunakan dan kita amat fleksibel, kita bagi tempoh penyuraian ini boleh diadakan secara berperingkat untuk memastikan tidak ramai sangat murid bersurai dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Radzi berkata, guru besar boleh menentukan pendekatan terbaik bagi menyuraikan murid pada akhir sesi persekolahan setiap hari dengan melihat kedudukan sekolah, jalan dan tahap kesesakan.

Atas sebab itu, katanya, Kementerian Pendidikan KPM) memberi kelonggaran kepada ibu bapa kerana ada ibu bapa belum biasa menghantar anak ke sekolah pada minggu pertama.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kapasiti sekolah terbabit.

"Kita perlukan kerjasama ibu bapa mengurangkan kesesakan di hadapan sekolah supaya kita dapat mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, pematuhan SOP dalam kalangan murid prasekolah dan Tahun Satu amat memuaskan.

"Saya biasa melawat sekolah tanpa maklumkan kehadiran, saya lihat anak-anak ini memang mematuhi SOP khususnya di dalam kelas.

"Sebab itu di sekolah kita meminimumkan pergerakan mereka, itu kita perincikan di peringkat awal. Kita keluarkan garis panduan untuk pembukaan semula sekolah, berbincang dengan KKM dan MKN kerana susah nak kawal sangat pergerakan, tapi dalam sekolah ini pergerakan agak terhad," katanya.

Berita Harian X