Isnin, 1 March 2021 | 1:47pm
Gelagat sebahagian murid prasekolah sempena hari pertama sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Sri Gaya. -Foto NSTP/Yun Mikail
Gelagat sebahagian murid prasekolah sempena hari pertama sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Sri Gaya. -Foto NSTP/Yun Mikail

SOP ketat tingkat keyakinan ibu bapa hantar anak ke sekolah

KOTA KINABALU: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika pembukaan sesi persekolahan bagi prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di Sabah hari ini, meningkatkan keyakinan ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya mendapati, ibu bapa hanya dibenarkan menurunkan anak masing-masing di perkarangan sekolah sebelum murid disambut oleh guru bertugas untuk proses pemeriksaan suhu badan.

Ibu salah seorang murid SK Sri Gaya,Nur Dzullazlynna Mohd Zulkifli, 35, berkata dia berpuas hati melihat pelaksanaan SOP di sekolah anaknya itu sekali gus mengurangkan rasa bimbang.

"Kami hanya dibenarkan menurunkan anak manakala selebihnya diuruskan guru. Selain itu, semua murid juga diwajibkan melalui mesin pengimbas suhu badan, wajib memakai pelitup muka serta menggunakan cecair basmi kuman.

"Saya melihat semua ini suatu inisiatif terbaik pihak sekolah sebagai langkah menghindari penularan wabak COVID-19 dalam kalangan murid.

"Sebagai ibu bapa, saya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada guru dan warga sekolah," katanya ketika ditemui di luar perkarangan sekolah, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Dzullazlynna yang menghantar anak memasuki prasekolah menyatakan anak sulungnya itu begitu teruja untuk ke sekolah pada hari pertama kerana mahu bertemu guru dan rakan, berikutan sebelum ini hanya belajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak awal tahun ini.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Nurul Syafida Mat Zain, 30, walaupun menyifatkan sesi persekolahan tahun ini sedikit mencabar, berikutan jumlah kes positif COVID-19 tidak menentu, dia yakin pembelajaran anak dapat berjalan dengan lancar.

"Saya sendiri sering mengajar dan mengingatkan anak supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap membasuh tangan, pakai pelitup muka dan menjaga jarak apabila bercakap dengan rakan.

"Malahan apabila melihat penerapan SOP yang dilakukan pihak sekolah, ia menambahkan lagi keyakinan saya mengenai keselamatan anak sepanjang berada di sekolah," kata ibu kepada dua cahaya mata terbabit.

Berita Harian X