Isnin, 1 March 2021 | 11:55am
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto NSTP
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto NSTP

Pindaan Akta 502 bagi semua koperasi bawah SKM, hari ini

KUALA LUMPUR: Pindaan membabitkan sembilan peruntukan dalam Akta Koperasi 1993 (Akta 502) kepada Akta kepada Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634), dilihat akan memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya gerakan koperasi.

Pindaan akta bagi semua koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu, berkuatkuasa mulai hari ini.

Secara dasar, pindaannya dilakukan selaras polisi kerajaan supaya operasi perniagaan koperasi pada masa ini lebih mudah dan memastikan koperasi yang didaftarkan berkualiti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pindaan akta ini dibuat bertepatan sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara berjumlah RM100 bilion menjelang 2030.

"Secara tidak langsung, sektor koperasi dilihat sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah atau B40.

"Antara pindaan utama yang dibuat adalah berkaitan syarat pendaftaran koperasi asas yang dipermudah di mana bilangan individu bagi tujuan pendaftaran kini dikurangkan daripada 50 kepada 20 orang sahaja.

"Ia bertepatan hasrat kerajaan menggalakkan golongan B40 menceburi perniagaan melalui koperasi di samping memasyarakatkan gerakan koperasi berdasarkan kumpulan sasar termasuk belia, wanita, komuniti mahupun masyarakat peribumi seperti orang asli," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pindaan kepada Akta 502 diluluskan Dewan Rakyat pada 17 Disember tahun lalu dan Dewan Negara (29 Disember tahun lalu).

Ia mendapat perkenan Diraja pada 26 Januari sebelum diwartakan pada 2 Februari.

Wan Junaidi berkata, pindaan yang dibuat turut membenarkan atau memudahkan koperasi untuk menerima pembiayaan daripada institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, ia turut membabitkan pembiayaan daripada koperasi yang ditentukan oleh SKM tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM terlebih dahulu sepertimana sebelum ini.

"Pindaan Akta 502 ini juga selari Bidang Tujahan ke-2, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Tindakan proaktif melalui pindaan akta yang dibuat oleh MEDAC ini diharap dapat membantu koperasi berdepan cabaran ekonomi baru terutamanya dalam situasi pendemik COVID-19 ini.

"Ia juga diharap dapat mendorong masyarakat untuk memilih bidang keusahawanan sebagai pilihan alternatif dalam menjana semula pendapatan yang terjejas sebelum ini.

MEDAC katanya, akan terus komited dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan mapan bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi negara yang seimbang.

Berita Harian X