Ahad, 28 Februari 2021 | 1:06pm
Dadah jenis kokain bernilai RM2.4 bilion yang dirampas dalam serbuan polis di Pulau Pinang pada 10 September 2019 dipercayai ada kaitan dengan sindiket didalangi Tan Sri dan Datuk itu - Gambar Fail NSTP
Dadah jenis kokain bernilai RM2.4 bilion yang dirampas dalam serbuan polis di Pulau Pinang pada 10 September 2019 dipercayai ada kaitan dengan sindiket didalangi Tan Sri dan Datuk itu - Gambar Fail NSTP

Dalang edar dadah: 3 Tan Sri dan Datuk dalam radar polis

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini.

Siasatan awal polis juga mendapati mereka berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, aktiviti perniagaan sah yang dimiliki tiga individu berusia 45 tahun ke atas itu dipercayai hanya alasan bagi menutup kegiatan utama iaitu terbabit dalam kegiatan pengedaran kokain ke luar negara.

Mereka juga tidak menggunakan khidmat kakitangan yang terbabit dalam perniagaan sah untuk aktiviti 'perniagaan' pengedaran dan penyeludupan dadah bagi mengelak rahsia bocor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata individu bergelar Tan Sri dan Datuk itu mempunyai kakitangan lain untuk melaksanakan perniagaan dadah mereka dari proses membawa masuk dadah menggunakan perairan negara, penyimpanan sehinggalah pengedaran ke luar negara.

"Tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada masa ini adalah mengumpulkan maklumat dan bukti kukuh daripada ahli-ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum ini sebelum melakukan tindakan lanjut termasuk tangkapan ke atas Tan Sri dan Datuk terbabit.

"Malah kita juga sudah menahan beberapa 'anak buahnya' melalui beberapa kejayaan operasi sebelum ini yang membabitkan peringkat Bukit Aman, kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Razarudin berkata adalah amat penting bagi polis mengumpulkan bukti kukuh lebih banyak sebelum tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama ini tidak terlepas menerima hukuman sewajarnya.

"Ada pepatah yang menyatakan 'jerat selalunya tak lupakan pelanduk' dan kita akan memberkas mereka yang dikesan aktif di Semenanjung itu apabila segala bukti lebih kukuh menunjukkan pembabitan mereka dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya.

Beliau berkata berdasarkan perisikan awal, ada ejen bawahan kepada tiga Tan Sri dan Datuk itu menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.

Katanya, kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, pada 10 September 2019, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.

Abdul Hamid berkata beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN.

Berita Harian X