Sabtu, 27 Februari 2021 | 3:21pm
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan nya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan nya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Tak perlu terburu-buru buat PRN-12: Abang Johari

PETRA JAYA: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak tidak perlu diadakan dengan terburu-buru kerana keselamatan kesihatan rakyat menjadi tumpuan utama kerajaan negeri ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pandemik COVID-19 masih membelenggu dan fokus harus ditumpukan kepada usaha untuk mengatasinya.

Justeru katanya, semua pihak harus bersabar kerana PRN-12 tetap akan diadakan apabila situasi wabak itu reda.

"Kita juga masih dalam keadaan darurat, jadi pilihan raya negeri boleh ditangguhkan ketika usaha harus kita tumpukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat," katanya selepas Program Imunisasi COVID-19, di Stadium Perpaduan hari ini.

Abang Johari menjawab soalan sama ada PRN-12 akan diadakan sejurus program imunisasi peringkat negeri selesai Ogos ini.

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya tamat pada 6 Jun tahun ini dan mengikut Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya harus dijalankan selepas tarikh itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 selepas dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Berikutan itu, semua pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan hingga 1 Ogos depan.

Sementara itu, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberi perhatian khusus bagi memutuskan rantaian COVID-19 seterusnya menjamin kesihatan rakyat Sarawak dan mereka yang tinggal di negeri ini.

"Usaha itu termasuk menyediakan kemudahan kuarantin dan penginapan hotel untuk membendung penularan COVID-19.

"Selain tempat penginapan, kerajaan negeri juga menyediakan makanan untuk mereka yang dikuarantin serta menyediakan kebajikan lain bagi membantu mereka yang terkesan dengan wabak itu," katanya.

Berita Harian X