Sabtu, 27 Februari 2021 | 1:12pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

TABIKA Perpaduan dibenar beroperasi awal Mac

PUTRAJAYA: Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Perpaduan dibenarkan beroperasi secara bersemuka bermula 1 Mac ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata pembukaan itu selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) yang membenarkan sekolah mula beroperasi pada awal Mac.

Katanya, kementerian juga akan memastikan pengoperasian ini tertakluk kepada pematuhan ketat serta Garis Panduan Pembukaan Semula Prasekolah, Garis Panduan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Garis Panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau juga mengingatkan semua guru agar sentiasa memastikan murid TABIKA Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke TABIKA Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.

Berita Harian X