Selasa, 23 Februari 2021 | 7:51pm
Penerima BPR yang tidak mempunyai akaun bank, boleh ambil BPR menerusi cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Jumaat ini. - Foto hiasan NSTP
Penerima BPR yang tidak mempunyai akaun bank, boleh ambil BPR menerusi cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Jumaat ini. - Foto hiasan NSTP

Pembayaran BPR Fasa I mulai Rabu ini

KUALA LUMPUR: Pembayaran Fasa I Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dipercepatkan dari Mei depan kepada penghujung Februari ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pembayaran membabitkan peruntukan RM1.93 bilion itu akan dibuat secara berperingkat mulai Rabu ini bagi membantu kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan bantuan diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Seramai 4.4 juta daripada 8.45 juta penerima akan mendapat bayaran RM300 setiap penerima bagi kategori isi rumah manakala 4.05 juta penerima akan mendapat bayaran RM150 seorang bagi kategori individu bujang.

"Isi rumah dan individu bujang akan menerima bayaran yang terus dikreditkan ke akaun bank manakala penerima tidak mempunyai akaun bank, boleh ambil bayaran melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Jumaat ini.

"Penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula akan menerima bayaran di lokasi akan diumumkan kelak, bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0), antara 1 Mac hingga 1 April depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP

Sebelum ini dilaporkan, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi BPR dilanjutkan hingga 25 Februari ini, selain penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemaskini jika tiada sebarang perubahan maklumat.

Berita Harian X