Selasa, 23 Februari 2021 | 2:56pm
Penduduk Taman Armada 2, Kuala Kedah semalam menunjukkan tangki yang disediakan di hampir setiap rumah bagi menyimpan air berikutan gangguan bekalan air berterusan di kawasan itu. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Penduduk Taman Armada 2, Kuala Kedah semalam menunjukkan tangki yang disediakan di hampir setiap rumah bagi menyimpan air berikutan gangguan bekalan air berterusan di kawasan itu. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Masalah air Kuala Kedah: Sumber air SADA terhad

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang berusaha memastikan pengguna di kawasan Kuala Kedah yang mengalami masalah gangguan bekalan, air tidak terputus bekalan walaupun sumber SADA sangat terhad.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Anas Aidi Md Rozai, berkata pihaknya sedia maklum dan ambil perhatian mengenai masalah air di kawasan Kuala Kedah.

"Sekiranya berlaku kecemasan seperti kematian atau sebagainya, pihak SADA akan membekalkan bantuan air lori berdasarkan permohonan. SADA juga telah mengaktifkan kembali rumah pam di fasa satu, tiga dan empat Taman Bersatu untuk membantu menstabilkan bekalan air di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan lebih 20,000 penduduk sekitar Kuala Kedah di sini, sudah tidak tahan lagi menanggung masalah bekalan air yang menyukarkan kehidupan harian mereka sejak lebih lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Anas Aidi berkata pembangunan pesat terutama perumahan di sepanjang Jalan Simpang Kuala ke Kuala Kedah menyebabkan permintaan bekalan air terawat meningkat setiap tahun berbanding kapasiti pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Jitra.

Pada musim cuti seperti cuti perayaan, cuti persekolahan atau cuti hujung minggu, permintaan bekalan air terawat meningkat sekali ganda berikutan kadar penggunaan air yang lebih berbanding hari biasa.

"Keadaan ini menyebabkan kadar aliran dan tekanan air mengalami penyusutan serta menjejaskan operasi rumah pam utama yang membekalkan air ke kawasan penduduk.

"Untuk tindakan jangka masa singkat, aktiviti takungan tangki pada waktu malam terpaksa dilakukan bagi meningkatkan semula paras tangki supaya berada di tahap yang memuaskan untuk membekalkan air pada hari berikutnya," katanya.

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh aktiviti itu dilakukan, aliran air kepada pengguna akan sedikit terjejas.

Bagi skim perumahan yang sedang dalam perancangan atau dalam fasa pembinaan di Kuala Kedah dan berhampirannya, pihak pemaju akan menyediakan sistem rumah pam dan tangki di fasa perumahan masing-masing tanpa menjejaskan operasi rumah pam perumahan sedia ada di kawasan berhampiran.

"Cadangan penyelesaian jangka panjang adalah cadangan menaik taraf LRA Pelubang, Jitra termasuk pemasangan paip khusus untuk kawasan Kuala Kedah yang akan dilaksanakan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kini pada peringkat tender," katanya.

Berita Harian X