Sabtu, 20 Februari 2021 | 6:47pm
Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan di sekatan jalan raya. - Foto arkib NSTP
Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan di sekatan jalan raya. - Foto arkib NSTP

461 individu ditahan ingkar SOP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 461 individu semalam, kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 430 dikompaun dan 31 lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan paling tinggi ialah rentas negeri serta daerah tanpa kebenaran membabitkan 135 orang.

Katanya, ia disusuli gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (128), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (72), tidak memakai pelitup muka (67) dan premis beroperasi lebih masa serta tanpa kebenaran (17).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 70,682 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.

"Sebanyak 3,171 pasukan pematuhan membabitkan 14,503 anggota membuat pemantauan terhadap 4,332 pasar raya; 6,146 restoran; 2,719 penjaja; 1,830 kilang; 3,827 bank dan 1,721 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 1,182 terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air serta 113 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong ditangkap, manakala lapan kenderaan darat dirampas.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa mengesan 119 buah bot dan kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

"Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut menjalankan 543 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 90 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 32 zon merah, lapan zon jingga, 35 zon kuning dan 12 zon hijau di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, secara kumulatif sebanyak 16,794 operasi sanitasi merangkumi 146 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

"Semalam juga, seramai 896 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya ditempatkan di stesen kuarantin seluruh negara.

"Sejak 24 Julai 2020, seramai 126,612 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 76 hotel, 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 19 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam dan mendapati kesemuanya mematuhi SOP ditetapkan.

"Secara keseluruhan, CIDB melakukan 15,594 pemeriksaan membabitkan 8,814 tapak binaan sejak 20 April tahun lalu.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula semalam membuat 673 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 492 peruncit, 151 pemborong dan 30 pengilang.

"KPDNHEP juga melakukan 1,405 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,401 premis mematuhi SOP manakala tiga diberi nasihat dan satu dikompaun," katanya.

Berita Harian X