Jumaat, 19 Februari 2021 | 5:56pm

Pastikan penyuraian murid di sekolah ikut SOP - Radzi

KUALA LUMPUR: Cabaran utama dalam penyuraian murid ialah ketika sesi persekolahan tamat dengan ramai ibu bapa menunggu anak di luar sekolah, sekali gus menyebabkan masalah penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata justeru pihaknya sudah memberi syor kepada sekolah berhubung kaedah terbaik bagi memastikan penyuraian itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan ingin memohon jasa baik ibu bapa serta kepimpinan masyarakat untuk sama-sama mendukung usaha ini supaya SOP mesti dipatuhi di dalam dan luar sekolah," katanya pada sidang media, hari ini.

Radzi menjelaskan, murid secara umumnya dapat mematuhi SOP dengan baik di dalam sekolah.

"Meja disusun dalam kelas dengan penjarakan fizikal antara murid. Mereka juga makan di dalam kelas, bukan di kantin.

"Kita sehabis mungkin ingin memastikan supaya SOP dapat dipatuhi di dalam sekolah," katanya.

Berita Harian X