Rabu, 17 Februari 2021 | 10:17am

Kandungan DidikTV KPM ikut sukatan kurikulum, kokurikulum

KUALA LUMPUR: Segenap kandungan yang disiarkan di DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM) selaras Sistem Pendidikan Kebangsaan, mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, ketika memberi jaminan itu berkata saluran khas pendidikan itu turut memperoleh kelulusan KPM.

Seiring inisiatif berkenaan, katanya, rombakan jadual penyiaran di ntv7 dilakukan bagi memberi laluan kepada saluran DidikTV KPM yang akan bersiaran setiap hari.

"Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.

"Perubahan dalam kandungan saluran ntv7 ialah antara sokongan drastik dalam membantu usaha KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.

Datuk Khairul Anwar Salleh
Datuk Khairul Anwar Salleh

"Dalam usaha untuk mengetengahkan ntv7 sebagai hub pendidikan Malaysia, Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Anwar berkata ntv7 juga komited untuk menyajikan rangkaian program bersasar kepada golongan muda supaya menjadi sumber inspirasi dan hab maklumat kepada generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari pada jam 7.30 malam dan siaran ulangan pada jam 12.00 tengah hari keesokannya.

"Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan ko-kurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan diberikan liputan. Malah, tiga program tersedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar.

"Berita baik buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ntv7 akan menambah slot waktu program popular 'Road To Success SPM 2020' bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini," katanya.

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Berita Harian X