Selasa, 16 Februari 2021 | 9:03pm

Pemilikan ntv7 tidak berubah - MPB

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan kepada pemilikan saluran televisyen Natseven TV Sdn Bhd (ntv7) di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima berikutan pelancaran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) esok.

Media Prima Berhad (MPB) dalam satu kenyataan malam ini menjelaskan, ntv7 juga tidak berhenti beroperasi seperti tanggapan dan dakwaan sesetengah pihak.

MPB berkata, DidikTV KPM adalah kolaborasi komersial strategik antara MPB dan Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.

"DidikTV KPM akan menyiarkan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM, selain program berkaitan pendidikan termasuk kandungan didik hibur (​edutainment)​.

"Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat bermaklumat," katanya.

Berita Harian X