Isnin, 15 Februari 2021 | 1:06pm
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Program imunisasi penting untuk pulih ekonomi

Malaysia bakal memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hujung bulan ini untuk membendung penularan pandemik itu. Wartawan BH, Muhammad Yusri Muzamir mewawancara Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mendapatkan penjelasan mengenai persiapan terkini, pelaksanaan pelan imunisasi dan pembangunan vaksin masa hadapan.

Soalan (S): Bagaimana persediaan Malaysia untuk menerima vaksin COVID-19 dijadualkan akhir bulan ini bermula imunisasi ke atas Perdana Menteri dan petugas barisan hadapan pada 26 Februari?

Jawapan (J): Dengan tempoh lebih kurang dua minggu sahaja yang tinggal, semua persiapan logistik, penyimpanan, latihan dan berkaitan sedang giat diperkemaskan.

Memandangkan ia satu pelan mobilisasi besar, malah program imunisasi terbesar dalam sejarah negara, kita menggunakan pendekatan menyeluruh membabitkan beberapa kementerian serta kerajaan negeri.

Sebanyak 600 pusat vaksinasi di seluruh negara membabitkan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan swasta serta bangunan kerajaan lain sedang dipersiapkan sebaiknya, serta 55 Pusat Simpanan Vaksin dilengkapi Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF) untuk menyimpan vaksin Pfizer dengan suhu -70 darjah Celsius.

Latihan anggota juga membabitkan beberapa peringkat daripada latihan penatar (TOT), mengikut daerah, fasiliti vaksinasi serta lapangan.

KKM juga bekerjasama dengan pengeluar vaksin untuk melatih anggota kita bagi mengendalikan vaksin.

Dari segi logistik, walaupun ia akan dikendalikan Pfizer sendiri, kita akan pastikan semua persiapan dilaksanakan adalah rapi dan sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Sebagai contoh, sesi dry run telah dijalankan ke Belaga dan Bintulu, Sarawak pada 29 dan 30 Januari lalu.

Sesi latihan ‘dry run’ dilaksanakan di Belaga dan Bintulu, Sarawak pada 29 dan 30 Januari lalu dengan teliti bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksana dengan sempurna.
Sesi latihan ‘dry run’ dilaksanakan di Belaga dan Bintulu, Sarawak pada 29 dan 30 Januari lalu dengan teliti bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksana dengan sempurna.

S: Boleh YB jelaskan bagaimana Pelan Imunisasi Kebangsaan dapat memastikan kita berjaya mencapai imuniti kelompok, 80 peratus rakyat perlu disuntik vaksin COVID-19.

J: Pelan Imunisasi Kebangsaan terbahagi kepada tiga fasa. Fasa 1 akan membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan. Dalam Fasa 2 pula, kita menyasarkan lebih kurang 9.4 juta individu tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi. Selebihnya, iaitu kira-kira 13.7 juta penduduk atau lebih, layak pada Fasa 3.

Seperti saya katakan tadi, ketika ini kita mengenal pasti 600 pusat vaksinasi di seluruh negara. Namun, pada masa ini kita juga dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memanfaatkan ruang dan fasiliti awam tersedia seperti stadium dan dewan besar bagi tujuan program ini.

Mengambil kira penerimaan bekalan daripada vaksin lain seperti AstraZaneca, Sputnik V, Sinovac dan Cansino yang sedang menunggu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta penggunaan optimum fasiliti yang ada, kita boleh mencapai sehingga 160,000 suntikan sehari menjelang pertengahan tahun ini.

Jika semuanya berjalan seperti dirancangkan, kita yakin akan dapat mencapai sasaran berkenaan.

Perlu kita ingat bukan semua orang layak menerima vaksin. Kanak-kanak dan ibu mengandung tidak boleh menerima suntikan vaksin. Malah, kumpulan mempunyai sejarah alahan teruk dan sistem imuniti tubuh rendah juga perlu mendapat nasihat dan pandangan pakar.

Jadi, adalah penting bagi kita untuk menyuntik seramai boleh kumpulan yang layak bagi memastikan kita dapat mencapai perlindungan secukupnya diingini untuk semua.

S: Bagaimana pula proses penghantaran antara ULTF ke lokasi sasaran seperti hospital kerana ramai khuatir ia mungkin menjejaskan keberkesanan vaksin berkenaan?

J: Raptai (dry run) pertama telah dilaksanakan dengan lokasi penghantaran ke Belaga, Sarawak pada 29 Januari lalu untuk memastikan proses logistik dan ketersampaian vaksin kita adalah pada tahap tertinggi ke seluruh negara.

Daripada simulasi berkenaan, kita kenal pasti beberapa perkara perlu diberi perhatian di samping menguji keupayaan dan latihan petugas perubatan yang terbabit dalam penghantaran.

S: Ada pihak mempertikaikan pemilihan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bukannya Menteri Kesihatan sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Apakah YB tidak melihat ia akan menyukarkan gerak kerja kerana YB akan mengawal selia bidang tugas yang akan banyak dilaksanakan Kementerian Kesihatan?

J: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bukan sahaja membabitkan perkara perubatan ataupun sains semata-mata. Banyak perkara lain turut membabitkan koordinasi antara semua kementerian serta pelbagai agensi kerajaan dari segenap sudut.

Ini termasuklah perkara seperti persiapan logistik, kemahiran pegawai dan petugas perubatan, komunikasi serta perkara lain berkaitan.

Malahan, yang lebih penting, program imunisasi ini turut membabitkan rakyat secara keseluruhan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat untuk memberi penerangan kepada rakyat akar umbi mengenai vaksin dan imunisasi. Ini adalah usaha bersama kita semua.

Jadi tidak ada timbul isu kesukaran gerak kerja kerana usaha ini didukung bersama-sama di bawah satu program dengan objektif sama. Hanya secara kebetulan, saya adalah Menteri MOSTI.

Apa lebih penting daripada semua ini adalah usaha kita dalam menggerak dan memastikan program imunisasi ini berjalan sebaiknya dan lancar dengan meletakkan kepentingan, kesihatan dan keselamatan rakyat sebagai keutamaannya.

Sejarah alahan diteliti sebelum individu layak menerima vaksin COVID-19. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Sejarah alahan diteliti sebelum individu layak menerima vaksin COVID-19. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

S: Ada menuduh peruntukan vaksin juga bertujuan mengumpulkan tabung politik untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa jawapan YB terhadap tuduhan sebegini?

J: Tidak sama sekali. Ini tidak ada kena-mengena dengan politik, peruntukan RM3 bilion diluluskan kerajaan telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021, memang digunakan sepenuhnya untuk pembelian dan perolehan vaksin.

Malahan yang lebih penting, yang perlu diulangi di sini adalah saya telah pun membentangkan perbelanjaan bagi perolehan vaksin ini (AstraZaneca, Pfizer, Sinovac, Cansino dan Sputnik V) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Ahli Parlimen DAP sendiri. Ia dianggotai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Sukacita dimaklumkan mereka berpuas hati dengan perbelanjaan kita dalam portfolio atau bakul vaksin ini. Jika terdapat ketirisan dalam pembelian seperti soalan anda tentang tabung politik untuk PRU-15, pastinya PAC sudah mengeluarkan kenyataan serta mengkritik kami.

S: Sejauh mana kempen kepentingan vaksin dijalankan dalam keadaan bukan saja tentangan daripada kelompok antivaksin, bahkan sebahagian masyarakat bimbang kesan sampingnya?

J: Keraguan dan kebimbangan masyarakat terhadap tahap keselamatan serta keberkesanan vaksin ini sememangnya kita akui. Ini dorongan terbaik untuk kita terus mempergiatkan komunikasi dengan masyarakat umum untuk menerangkan isu sering diperdebatkan dengan memberikan penjelasan dari sudut fakta sains dan data klinikal yang ada.

Banyak jurucakap kita yang terdiri daripada ahli saintis dan perubatan, tokoh agama dan pemimpin komuniti serta pakar bidang masing-masing telah mengadakan pelbagai jenis aktiviti libat urus serta penerangan umum untuk menyampaikan maklumat hingga ke seluruh pelosok negara.

Kita mahu tutup sebarang jurang maklumat dengan menyediakan maklumat secukupnya kepada rakyat mengenai vaksin dan kepentingan imunisasi ini. Dengan maklumat tepat mencukupi dan tersedia, rakyat sendiri dapat membuat pertimbangan sewajarnya mengenai pengambilan vaksin. Ini akan sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap vaksin dengan secara semula jadi.

S: Boleh YB jelaskan pembabitan pekerja asing dalam program imunisasi vaksin COVID-19?

J: Khamis lalu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah mengumumkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara Malaysia dan ini juga termasuklah pekerja asing.

Dengan saiz kumpulan ini yang besar dan tergolong dalam golongan berisiko tinggi, kita mengambil kira peranan mereka dalam usaha mewujudkan satu persekitaran selamat dan bebas COVID-19 pada masa akan datang.

Ini juga selari dengan tema menaungi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan-Lindung Diri, Lindung Semua kerana kita percaya bahawa perlindungan secukupnya hanya akan dapat dicapai jika seramai boleh penduduk Malaysia layak mengambil vaksin.

Disebabkan pekerja asing juga kumpulan berinteraksi dan berfungsi dalam masyarakat, maka mereka juga tidak terkecuali. Tidak ada antara kita yang selamat, sehingga semuanya selamat.

S: Sama ada Ahli Parlimen dan ahli politik akan menjadi golongan pertama atau terakhir menerima vaksin pernah jadi 'perdebatan' di Parlimen tahun lalu. YB juga beri jawapan terbuka, tetapi umum mahu tahu apakah mereka akan jadi golongan pertama atau terakhir?

J: Terdapat dua perspektif untuk kita lihat perkara ini, iaitu pertama, mereka menggunakan hujah sains dan kedua, mereka merasakan ahli politik tidak perlu diberi keutamaan. Ada juga berpendapat ahli politik perlu diberikan vaksinasi terlebih dahulu sebelum rakyat agar keselamatan dan keberkesanannya dapat dilihat.

Kita mengambil pendekatan untuk mengendalikan isu ini dari sudut penilaian risiko. Ahli politik berjumpa dengan sejumlah besar ahli masyarakat setiap hari, termasuklah menghadiri jemputan dan sebagainya.

Melihat kepada tugas dan tanggungjawab mereka, kumpulan ini berisiko tinggi menjadi super spreader yang akan menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat. Dari sudut ini, mereka dilihat sebagai kumpulan berisiko yang perlu menjadi antara terawal divaksin.

Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech memerlukan peti simpanan penyejuk beku khas. - Foto Kementerian Kesihatan
Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech memerlukan peti simpanan penyejuk beku khas. - Foto Kementerian Kesihatan

S: COVID-19 mendedahkan kelompongan besar Malaysia dalam konteks penghasilan vaksin sendiri, malah ketinggalan berbanding Indonesia melalui Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM) berupaya melakukan penyelidikan dan pembangunan vaksin. Apa pandangan YB sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi?

J: MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) ialah pembiayaan khusus bagi projek Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam memerangi dan mengawal wabak COVID-19 dengan menggunakan peruntukan Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Dengan penularan wabak COVID-19 di Malaysia sejak penghujung Januari 2020 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac tahun lalu hingga kini memberi cabaran dan impak kepada ekosistem pentadbiran dan ekonomi negara.

Berikutan itu, pelbagai cadangan projek bagi menangani isu COVID-19 diterima daripada agensi berkaitan kerajaan, swasta dan juga masyarakat umum.

Skop pembiayaan MCCOF ialah geran seratus peratus. Kuantum pembiayaan adalah sehingga RM3 juta dengan tempoh pelaksanaan projek sehingga 24 bulan dan dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Sehingga 11 Februari lalu, sebanyak dua permohonan di bawah MCCOF telah diluluskan dengan kos peruntukan sebanyak RM4,926,965.

Perincian permohonan diluluskan adalah seperti berikut:

Projek 1

Kos diluluskan: RM2,699,800
Nama entiti: Universiti Putra Malaysia (UPM)
Nama Ketua Projek: Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff
Tempoh: 18 bulan

Projek 2

Kos diluluskan: RM2,227,165
Nama entiti: Universiti Malaya (UM)
Nama Ketua Projek: Prof Sazaly Abu Bakar
Tempoh: 24 bulan

S: Dengan virus seperti COVID-19 akan tetap jadi ancaman pada masa depan, bagaimana pembangunan vaksin di Malaysia supaya kita tidak semata-mata bergantung kepada syarikat farmasi antarabangsa?

J: Sejak permulaan pandemik lagi kita sudah memikirkan potensi dan langkah terbaik serta mengambil pendekatan untuk mempersiapkan Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin.

Ini dimulakan dengan meningkatkan keupayaan membangunkan vaksin dari sudut penyelidikan dan pembangunan. MOSTI telah meluluskan beberapa projek dilaksanakan universiti terkemuka negara bagi membangunkan vaksin untuk manusia. Kita mampu memperkembangkan kepakaran berkenaan.

Proses R&D adalah amat penting dan Malaysia mempunyai banyak kepakaran yang boleh membangunkan vaksin. Namun, kita memerlukan kesinambungan daripada peringkat R&D ke peringkat komersial juga.

Oleh itu, kita jalinkan kerjasama dua hala dan buat rundingan dengan negara mempunyai keupayaan membuat vaksin bagi pemindahan teknologi.

Pada peringkat ini, Malaysia akan melaksanakan proses pembotolan. Ia satu proses amat teknikal, membabitkan pelbagai proses lain yang perlu disemak dan disahkan NPRA. Bentuk pemindahan teknologi sedemikian boleh memberi persiapan kepada Malaysia untuk menjadi negara pengeluar vaksin pada masa akan datang.

Oleh itu, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan untuk berunding dengan syarikat pengeluar vaksin untuk memindahkan teknologi ke Malaysia. Oleh itu, kita telah melihat syarikat Cansino dan Sinovac melakukan proses fill and finish di Malaysia dan perbincangan bersama Gamaleya untuk menghasilkan vaksin Sputnik V di Malaysia.

S: Bagaimanakah perkembangan kerjasama penghasilan vaksin antara Malaysia dengan China dan adakah kita dapat menggunakan platform ini untuk mengembangkan bidang baharu dalam penghasilan vaksin?

J: Dua syarikat dari China akan melakukan proses pembotolan di Malaysia, iaitu Cansino dan Sinovac. Mereka akan memindahkan teknologi kepada syarikat tempatan untuk melakukan proses ini. Kita juga sedang berusaha untuk memacukan proses R&D dengan China untuk kerjasama jangka panjang.

S: Menerusi perkongsian teknologi pembangunan vaksin bersama China, adakah Malaysia bercadang untuk menghasilkan vaksin yang mampu mendapat pengiktirafan sijil halal selepas ini?

J: Itu adalah harapannya, apabila teknologi pembangunan dapat dipindahkan ke Malaysia, bukan sahaja vaksin dari China, tapi mana-mana vaksin dihasilkan di Malaysia boleh mendapat pengiktirafan sijil halal.

Ia akan membuka dan memberi pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan vaksin mendapat sijil halal pada masa akan datang.

Berita Harian X