Sabtu, 13 Februari 2021 | 2:44pm
Akses lebih luas terhadap saluran TV Pendidikan dikenali sebagai DidikTV KPM diharap membantu menangani isu capaian akses PdPR. - FOTO Arkib NSTP
Akses lebih luas terhadap saluran TV Pendidikan dikenali sebagai DidikTV KPM diharap membantu menangani isu capaian akses PdPR. - FOTO Arkib NSTP

Saluran DidikTV KPM mulai 17 Februari

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari ini.

Majlis pelancaran saluran yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.

"Kini buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," kata kenyataan berkenaan.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) dan kandungan yang dihasilkan oleh murid, di samping program antarabangsa bersesuaian," katanya.

Kenyataan KPM itu menyebut, saluran DidikTV KPM adalah platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat bermaklumat.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang, berkata pelancaran DidikTV KPM dengan waktu siaran lebih panjang memberi kelegaan kepada golongan pendidik.

"Pelancaran saluran khusus TV Pendidikan yang bersiaran dari pagi sehingga 12 tengah malam mungkin dapat meredakan sedikit pelbagai masalah dihadapi guru.

"Ini berikutan mereka perlu mengambil alih 100 peratus proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tanpa bantuan luar.

"Saya menjangkakan saluran TV Pendidikan akan menyediakan kandungan yang lebih menyeluruh dan mampu membantu guru yang kurang mahir dalam aspek teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata, isu utama berkaitan PdPR yang hangat diperkatakan iaitu akses terhad kepada internet terutama bagi pelajar luar bandar dan ketiadaan peranti di rumah juga dapat ditangani apabila TV Pendidikan diperkenalkan secara menyeluruh.

Berita Harian X