Sabtu, 13 Februari 2021 | 1:03pm

Cikgu bantu bersihkan rumpair Sungai Balun

SLIM RIVER: Walaupun terpaksa bergelumang dengan lumpur, selut dan lintah, ia tidak menghalang seorang guru membersihkan Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata, dekat sini, seorang diri.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Besout 1, Ismail Mohd Zain, 40, berkata selepas dibersihkan, air sungai menjadi semakin lancar mengalir ke Sungai Slim yang terletak kira-kira satu kilometer (km) dari sungai itu.

Sebelum itu, katanya, beliau perlu membersihkan rumpai di dalam air yang memerangkap banyak sampah-sarap yang terapung seperti botol, bekas plastik dan tong.

"Sampah-sarap ini mungkin dihanyutkan oleh air ketika banjir baru-baru ini, lalu terperangkap di dalam sungai yang mempunyai rumpair.

"Kawasan tebing sungai sudah kelihatan bersih menyebabkan saya mengambil peluang mengutip pula sampah-sarap untuk membersihkan lagi sungai sambil menjaring ikan di sungai ini ," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Ismail berkata, antara ikan yang ditangkap ialah ikan keli, haruan dan teroboi yang berat kira-kira lapan kilogram (kg) serta cukup untuk dijadikan juadah makan tengah hari dan sedekah kepada jiran.

Antara ikan yang ditangkap ketika membersihkan Sungai Balun. - NSTP/Rosman Shamsudin
Antara ikan yang ditangkap ketika membersihkan Sungai Balun. - NSTP/Rosman Shamsudin

Tebing sungai itu yang sebelum ini dipenuhi semak-samun kini bertukar wajah selepas pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membersihkan sungai itu sebagai antara langkah mengatasi banjir di Kampung Balun, baru-baru ini.

Ismail berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memelihara dan memulihara sungai di kawasan setempat.

"Saya tidak boleh lihat sampah-sarap seperti botol dan bekas plastik terapung di sungai dan saya akan jadikan ia sebagai rutin kerja saya untuk bersihkan sungai.

"Sungai ini ada banyak lintah bersaiz besar kerana apabila menjejakkan kaki ke dalam air, saya ternampak lintah mula menghampiri kaki tetapi itu bukanlah halangan untuk saya bersihkan sungai ini," katanya.

Beliau berkata, apabila sungai bersih dan terpelihara, habitat pelbagai spesies hidupan marin akan dapat membiak, seterusnya memberi sumber rezeki kepada nelayan darat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, usaha JPS membersihkan sungai itu patut dipuji kerana di samping memastikan aliran air lancar, ia juga dapat memastikan fungsi dan kelestarian sungai terjamin.

"Sebagai guru, kita sentiasa menekankan aspek kepentingan menjaga kebersihan kawasan persekitaran. Jadi, apa salahnya sesekali kita praktikkan sendiri supaya ia menjadi teladan kepada anak murid," katanya.

Ismail mengutip sampah-sarap yang terapung di Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata, Slim River. - NSTP/Rosman Shamsudin
Ismail mengutip sampah-sarap yang terapung di Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata, Slim River. - NSTP/Rosman Shamsudin
Berita Harian X