Jumaat, 12 Februari 2021 | 10:30am

Limpahan minyak punca pencemaran Sungai Serting Jempol

SEREMBAN: Limpahan minyak daripada sebuah premis terletak berhampiran Sungai Serting Jempol, di sini, dikenal pasti punca pencemaran air sungai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata perkara itu disahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan yang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, aduan pencemaran air di Sungai Serting yang berwarna hitam dan berbau diesel itu diterima jam 7 malam pada Rabu lalu.

"Susulan itu, JAS Cawangan Kuala Pilah sudah menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca pencemaran adalah limpahan daripada takungan minyak daripada sebuah premis, terletak berhampiran sungai berkenaan.

"Pemilik premis sudah diarahkan menjalankan kerja pembersihan dan tindakan undang-undang akan dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya hari ini.

Semalam, JAS Negeri Sembilan mengesahkan sudah mengambil sampel air Sungai Serting Jempol yang dikhuatiri tercemar berikutan penemuan kesan cecair bendalir disyaki minyak diesel.

Jurucakap JAS negeri, berkata JAS Cawangan Kuala Pilah sudah membuat lawatan ke lokasi berkenaan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengambil sampel air untuk ujian oleh Jabatan Kimia.

Rabu lalu, seorang pekerja kafe mendapati air Sungai Serting berubah kepada warna hitam selepas dia terbau minyak diesel sebelum mencari punca bau berkenaan, pada kira-kira jam 5.50 petang.

Air Sungai Serting Jempol bertukar menjadi warna hitam akibat pembuangan cecair disyaki minyak diesel. - Foto NSTP
Air Sungai Serting Jempol bertukar menjadi warna hitam akibat pembuangan cecair disyaki minyak diesel. - Foto NSTP
Berita Harian X